PETALING JAYA – Polis tetap meneruskan siasatan berhubung dakwaan seorang pelanggan wanita yang dipercayai menjadi mangsa intipan oleh pekerja sebuah restoran terkenal di Uptown, Kota Damansara meskipun laporan polis yang dibuat sebelum ini telah ditarik balik.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, siasatan masih diteruskan termasuk merakam percakapan suspek dan beberapa saksi lain kerana kes berkenaan telah tular di media sosial.
“Kes ini masih disiasat kerana ia telah menjadi tular. Kertas siasatan juga telah dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya dan keputusan dibuat untuk tiada pertuduhan dikenakan (NFA),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pengadu dan suspek dipercayai telah menyelesaikan perkara tersebut secara baik sebelum wanita terbabit hadir semula ke balai polis bagi menarik balik laporan yang dibuat sebelum ini.
Semalam, media melaporkan seorang wanita dikenali sebagai Lysa, 23, mendakwa menjadi mangsa intipan ketika menggunakan tandas di sebuah restoran terkenal di Uptown, Kota Damansara.
Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira pukul 9.50 malam ketika dia sedang menjamu selera di restoran berkenaan sebelum masuk ke tandas untuk membuang air kecil.
Wanita itu mendakwa menyedari dirinya dipercayai dirakam oleh seorang pekerja premis terbabit ketika berada di dalam tandas, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan dan privasi pelanggan. – KOSMO! ONLINE














