GUA MUSANG – Kerajaan negeri Kelantan akan menanggung kos sewaan rumah selama tiga bulan kepada 27 keluarga yang terjejas dalam insiden kebakaran di Kampung Gok Kapor, Kota Bharu pada Isnin lalu.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud berkata, kerajaan bersetuju meringankan beban mangsa terlibat sebagai langkah membantu mereka mendapatkan tempat tinggal.
Katanya, setiap keluarga akan menerima bantuan sewaan sebanyak RM500 sebulan secara serta-merta.
“Kerajaan negeri memahami kesukaran yang dihadapi mangsa kebakaran dan mengambil keputusan untuk membiayai sewaan rumah bagi tempoh permulaan selama tiga bulan.
“Mangsa bebas untuk menyewa rumah di mana-mana lokasi yang sesuai, namun perlu berurusan dan menyelaras perkara tersebut dengan Pejabat Tanah dan Jajahan Kota Bharu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Chupak di sini hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, sebanyak 29 buah rumah musnah dalam satu kebakaran besar di Kampung Gok Kapor, Kota Bharu pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, siasatan awal mendapati kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira enam ekar dengan tahap kemusnahan yang berbeza-beza. – KOSMO! ONLINE














