KOTA BHARU – Tiada sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat yang boleh dikaitkan dalam kejadian kebakaran melibatkan sebanyak 27 buah rumah penduduk di Kampung Cina, Gok Kapor di sini semalam.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan oleh Pasukan Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi mengenal pasti punca sebenar kebakaran.
Katanya, kejadian itu tidak melibatkan kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan.
“Siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah atau perbuatan khianat yang boleh dikaitkan dengan kejadian itu.
“Kebakaran itu melibatkan sebanyak 27 buah rumah separuh kayu dan separuh batu di kawasan seluas kira-kira 2.43 hektar melibatkan tahap kemusnahan yang berbeza-beza,” katanya.
Mohd. Yusoff memberitahu, berdasarkan keterangan saksi, asap dan api mula dikesan kira-kira pukul 12 tengah hari sebelum merebak dengan pantas berikutan kedudukan rumah yang berhampiran antara satu sama lain.
Menurutnya, JBPM yang menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.34 tengah hari dan tiba di lokasi enam minit kemudian.
“Operasi mengawal da memadamkan kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 5.30 petang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














