SEREMBAN – Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang dikurung oleh ibu angkatnya dalam stor di belakang sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini berjaya diselamatkan pihak polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Yatim Osman berkata, pihak polis telah menerima maklumat berhubung kes pengabaian terhadap mangsa pada pukul 7.30 malam.
“Ketika ditemui mangsa mengalami calar di bahagian bahu dan pipi sebelah kanan sebelum diselamatkan dan dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk rawatan.
“Siasatan mendapati mangsa merupakan anak angkat kepada sebuah keluarga sejak berumur satu tahun lapan bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Mohd. Yatim, sepanjang cuti sekolah pada bulan Mei hingga Jun lalu, mangsa telah diletakkan di dalam sebuah stor yang tidak berkunci di belakang rumah dan diberikan makan sebanyak dua kali sehari.
“Mangsa hanya dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk pergi ke tandas sahaja dan perlu kembali ke stor setelah selesai. Mangsa juga sering dimarahi dan dipukul oleh ibu angkatnya disebabkan hal-hal kecil seperti curi makanan di waktu malam,” katanya.
Mohd. Yatim berkata, susulan laporan tersebut pihak polis telah menahan seorang wanita berusia 46 tahun yang merupakan ibu angkat mangsa pada pukul 9.30 malam hari yang sama untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE














