PARIS – Bintang tenis Jerman, Alexander Zverev akhirnya berjaya memadamkan stigma bahawa dia merupakan pemain terbaik tanpa gelaran Grand Slam selepas meraih kemenangan pertama dalam kariernya.
Pada aksi final keempat aksi Grand Slam, Zverev menemui noktah penantian apabila dinobatkan selaku juara Terbuka Perancis selepas membenam cabaran pemain Itali, Flavio Cobolli dengan aksi lima set, 6-1, 4-6, 6-4, 6-7, 6-1 awal pagi semalam.
Ketika trofi Coupe des Mousquetaires diserahkan kepadanya, Zverev mengangkat trofi itu dengan kedua-dua tangan dan melaungkan jeritan yang menggambarkan kepuasan selepas lama menantikan detik tersebut.
“Gelanggang ini sangat istimewa bagi saya. Saya mengalami detik-detik terbaik dalam hidup saya di gelanggang ini, namun detik paling buruk dalam hidup saya juga di sini,”
“Saya kalah dalam final Grand Slam di sini dua tahun lalu, tetapi kini akhirnya semuanya berakhir dengan kegembiraan,” kata Zverev.
Detik buruk itu merujuk kecederaan yang dialaminya ketika perlawanan separuh akhir menentang Rafael Nadal pada tahun 2022 yang menyebabkan beliau terpaksa dibawa keluar menggunakan kerusi roda.
“Saya terbaring di sudut sana empat tahun lalu dengan tujuh ligamen yang koyak dan dua tulang yang retak,” kata Zverev.
Zverev kini menyertai kelompok elit pemain yang memenangi gelaran Grand Slam pertama mereka pada penampilan final keempat, antaranya Andre Agassi, juara Wimbledon, Goran Ivanisevic dan juara Terbuka Amerika Syarikat, Dominic Thiem.
Zverev telah dianggap sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan itu sejak pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dan Novak Djokovic tersingkir, manakala Carlos Alcaraz menarik diri akibat kecederaan.
Ini merupakan final kedua Zverev di Terbuka Perancis selepas tewas kepada Alcaraz dalam perlawanan akhir tahun 2024. – AGENSI














