SUNGAI PETANI – Polis mengesahkan pemandu kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang terlibat kemalangan dengan lori tanah sehingga mengorbankan enam mangsa ialah Ahmad Fahim Ahmad Shukri, 21.
Ahmad Fahim, pemilik Proton X50 baharu tersebut merupakan adik kepada anggota polis, Lans Koperal Ahmad Shafiq, 29.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, terdapat kekhilafan pada maklumat awal yang mengatakan anggota polis tersebut yang memandu SUV berkenaan.
“Pada awalnya, polis dimaklumkan oleh bomba bahawa anggota kita (polis) yang pandu, namun pada pagi ini disahkan bahawa adik dia yang memandu. Terdapat kekhilafan dalam maklumat yang diterima itu,” katanya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang semalam, enam sekeluarga maut, manakala seorang kanak-kanak parah selepas Proton X50 yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori tanah di Kampung Baru Pinang Tunggal, di sini.
Mangsa terdiri daripada Ahmad Shafiq; isterinya, Jamaliah Sannusi, 29, dan bayi mereka, Ahmad Mikail yang berusia dua bulan.
Tiga lagi ialah ibu Ahmad Shafiq iaitu Nora Mohd. Husin, 55, dan adiknya, Ahmad Fahim, 21, serta anak saudaranya, Iskandar Affan Ibrahim, 7.
Kanak-kanak, Aulia Sofea, 3, yang merupakan anak kepada Ahmad Syafiq cedera parah pada bahagian muka dan menerima rawatan di hospital.
Proton X50 milik Ahmad Fahim itu dikatakan baru sahaja diambil dari pusat jualan kenderaan tersebut pagi hari kejadian.
Kesemua mereka dikatakan dalam perjalanan untuk menziarahi kubur arwah bapa Ahmad Shafiq di Merbok, dekat sini. – KOSMO! ONLINE














