SEBERANG PERAI – Seorang pemandu pacuan empat roda yang tular memandu secara mengundur dan melulu di Lebuh Raya Utara Selatan dari arah Sungai Dua di sini semalam, sehingga melanggar beberapa kenderaan lain didapati positif dadah jenis methamphetamine dan morfin.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, lelaki tempatan berusia 29 tahun itu ditahan orang awam di Lebuh Raya Butterworth-Kulim Expressway (BKE) di Seberang Jaya selepas kejadian berlaku kira-kira pukul 10.05 pagi.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menemukan dua paket plastik lutsinar dipercayai mengandungi methamphetamine seberat 0.75 gram dan ketamin seberat 2.38 gram yang disimpan di dalam beg silang miliknya.
“Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai 15 rekod kesalahan berkaitan dadah serta dua rekod jenayah,” katanya di sini, malam tadi.
Beliau berkata, suspek telah ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala siasatan berkaitan kemalangan jalan raya dijalankan di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Siasatan awal mendapati suspek yang memandu sebuah Mitsubishi Triton dipercayai memandu secara berbahaya dari arah Sungai Dua sebelum melanggar beberapa kenderaan di sepanjang laluan tersebut.
“Polis kini sedang mengesan semua mangsa dan saksi bebas yang berada di lokasi kejadian bagi membantu siasatan,” katanya suspek akan dibawa reman di Mahkamah Bukit Mertajam pagi ini.
Terdahulu, Kosmo Online melaporkan tindakan pemandu trak pikap yang memandu secara mengundur di jalan raya sehingga membahayakan pengguna lain menggemparkan orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial. – KOSMO! ONLINE














