GEORGE TOWN – Maritim Malaysia menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) dan sangkar ikan dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini semalam dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM2 juta.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, tangkapan pertama melibatkan sebuah bot nelayan asing yang dikesan kira-kira 24.6 batu nautika barat daya Pulau Kendi pada pukul 2.25 petang.
Menurutnya, bot kayu tanpa nombor pendaftaran itu dikesan dalam keadaan mencurigakan ketika Kapal Maritim (KM) Semilang menjalankan rondaan operasi di perairan Malaysia.
“Hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut dikendalikan lima kru termasuk seorang tekong warga Indonesia berusia antara 23 hingga 25 tahun.
“Kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan vesel berkenaan dipercayai berasal dari Pantai Labu, Medan, Indonesia,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati vesel itu disyaki menjalankan aktiviti penangkapan ikan di perairan negara tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985. -KOSMO! ONLINE














