fbpx
Asyraf Wajdi

‘Baru saya tahu kenapa rakyat suruh tengok K-drama ini…’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebuah drama Korea Selatan bertajuk Teach You a Lesson menjadi perhatian ramai selepas dikaitkan dengan pendekatan tegas yang dilaksanakan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dalam menangani isu buli.

Perkara itu dibangkitkan oleh Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi satu hantaran di laman Threads selepas ramai pengguna media sosial menandakan akaunnya dan meminta dia menonton drama berkenaan.

Menurutnya, beliau sempat menonton episod pertama drama tersebut dan mendapati terdapat persamaan antara watak utama yang merupakan bekas anggota komando dengan pelaksanaan dasar penempatan bekas tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM.

“Rupanya ada kesamaan watak Na Hwa-jin, bekas komando yang menjadi pegawai utama biro perlindungan hak pendidikan dengan bekas tentera yang dilantik sebagai warden sepenuh masa di MRSM.

“Kedua-duanya mempunyai fungsi sama untuk menangani isu buli di sekolah. Prinsip saya, #YouTouchYouGo,” katanya.

Asyraf berkata, pengajaran utama daripada drama itu adalah isu buli perlu ditangani secara serius tanpa sebarang kecenderungan untuk menutup kes demi menjaga imej institusi pendidikan.

Pada masa sama, beliau mendakwa pendekatan Mara menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden sepenuh masa di MRSM terbukti berkesan dalam mengurangkan kes disiplin dan buli.

“Disiplin pelajar juga didapati lebih baik selain mengurangkan beban guru yang sebelum ini menggalas tanggungjawab tambahan sebagai warden asrama,” katanya.

Dalam hantaran sama, Asyraf turut mengimbau satu kes buli di sebuah MRSM yang dikaitkan dengan anak seorang individu berpengaruh ketika awal pelantikannya sebagai Pengerusi Mara.

Dakwanya, ketika itu terdapat kebimbangan dalam kalangan pihak pengurusan untuk mengambil tindakan kerana bapa pelaku mempunyai pengaruh politik dan sering menyumbang kepada institusi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan telah mengarahkan supaya tindakan diambil tanpa kompromi sebaik menerima aduan daripada ibu bapa mangsa melalui media sosial.

“Saya nyatakan pendirian tegas untuk ambil tindakan tanpa kompromi dalam isu buli.

“Bapa pelaku kemudian meminta rayuan tetapi saya tidak layan malah memaklumkan pegawai supaya tidak mengatur sebarang pertemuan jika pelajar itu sudah didapati bersalah oleh Jawatankuasa Disiplin Maktab,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN