PETALING JAYA – Orang ramai disaran menghubungi talian 997 dengan segera sekiranya menjadi mangsa penipuan bagi membolehkan tindakan pantas diambil oleh pihak berkuasa.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, scammer kini semakin licik dan sesiapa sahaja berisiko menjadi mangsa jika tidak sentiasa berwaspada.
Menurutnya, program Be Smart, Avoid Scam: Scam Awareness For Everyone (SAFE) dilaksanakan bagi membantu masyarakat mengenali pelbagai taktik penipuan digital yang digunakan ketika ini.
“Hubungi talian 997 dengan segera sekiranya anda menjadi mangsa penipuan.
“Scammer hari ini semakin licik, dan sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa jika tidak sentiasa berwaspada,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Fahmi berkata, program SAFE turut memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai langkah melindungi diri di alam siber selain membantu orang ramai mengurus kewangan dengan lebih selamat.
Beliau berharap lebih ramai rakyat mendapat manfaat daripada inisiatif berkenaan sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi ancaman penipuan dalam talian.
“Semoga lebih ramai mendapat manfaat daripada usaha seperti ini, seterusnya lebih bersedia untuk melindungi diri dan keluarga daripada ancaman scammer,” katanya. – KOSMO! ONLINE














