SAUDARA PENGARANG,
Baru-baru ini saya mendengar daripada mereka yang menghadiri mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru sebuah sekolah pinggir bandar di Dengkil, Selangor. Masalah yang diutarakan masih lagi berkisar tentang kelas tidak cukup atau padat.
Warga pendidik memberitahu jika sekarang masalah itu masih belum dapat diselesaikan, apatah lagi jika murid enam tahun mula masuk ke sekolah pada 2027.
Kawasan sekolah terhad tetapi taman perumahan bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan menyebabkan hal ini masih gagal diatasi dengan tuntas.
Saban bulan atau tahun, pasti ada perumahan baharu dibuka dan ia habis dijual. Ibu bapa yang tiada pilihan, akhirnya akan memilih sekolah yang dekat dengan rumah walaupun ia sudah terlalu padat.
Keadaan itu bukan sahaja menjejaskan kualiti pembelajaran, malah menyebabkan anak murid kurang selesa dan tiada ruang kerana satu kelas mempunyai hampir 40 pelajar.
Mungkin isu itu hanya dihadapi oleh segelintir sekolah sahaja tetapi ia masih menjadi masalah yang perlu diselesaikan dengan segera supaya keadilan pembelajaran dapat dirasai oleh semua pelajar.
Saya percaya murid yang berada di dalam kelas padat kurang fokus ketika sesi pembelajaran berlangsung. Ibu bapa yang kurang mampu menghantar anak ke pusat tuisyen pula perlu reda dengan prestasi hambar anak.
Nampaknya, kawasan sekolah baharu perlu dibuka di kawasan pinggir bandar di Dengkil. Jika tidak selamanya anak-anak di kawasan itu akan ketinggalan.
Kuat kerja,
Jenderam, Dengkil














