MELAKA – Seorang murid lelaki berusia 12 tahun dilaporkan menjadi mangsa buli senior apabila mendakwa telah dipukul, ditendang dan kepala direndam di dalam baldi di sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling di sini.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian terbongkar selepas ibu mangsa membuat laporan polis pada pukul 7.11 malam pada Rabu lalu berhubung perbuatan beberapa pelajar senior yang dikenali terhadap anaknya.
Katanya, susulan itu sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah telah menahan empat suspek yang juga pelajar sekolah menengah berusia antara 15 hingga 16 tahun pada pukul 3.45 petang, kelmarin.
“Mangsa merupakan murid yang tinggal sebuah rumah anak yatim di Tanjung Kling dan mendakwa dia telah dibuli dengan cara kekerasan oleh pelajar senior dikenali.
“Suspek dikatakan telah memukul, menendang, merendam kepala mangsa di dalam baldi air serta menyeret mangsa di atas lantai tandas,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Katanya, hasil siasatan awal mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing adalah negatif.
“Kesemua suspek telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas keterangan diambil dan kes disiasat di bawah Seksyen 507B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
“Pihak polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kes berkenaan di media sosial,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














