KUALA KANGSAR – Pelajar wanita, Nurfisya Zulkifly, 19, disifatkan seorang yang menjaga batas pergaulan terutama dengan rakan-rakan lelaki, menurut seorang kenalan sekampung dengan arwah.
Kenalan yang berusia 24 tahun itu berkata, dia mengetahui keluarga arwah sendiri sangat tegas tidak membenarkannya begitu mudah berkawan dengan lelaki.
“Yang saya tahu, arwah ini memang baik. Dia pernah cakap yang dia tiada teman lelaki. Itu sahaja yang saya tahu,” katanya kepada pemberita.
Kenalan lelaki yang enggan mendedahkan identiti itu mengenali Nurfisya setelah keluarga wanita tersebut pindah ke kawasan perumahan di Taman Chandan Putri, Bukit Chandan di tengah bandar Kuala Kangsar.
Katanya, hubungannya dengan Nurfisya sekadar kawan biasa dan pernah ke rumah terbuka anjuran keluarga arwah pada Aidilfitri Mac lalu.
Dia mengetahui berita tragedi kejam di Kampung Simah, Ketereh itu lewat petang semalam melalui perkongsian dalam media sosial dan terkejut apabila mendapati mangsa merupakan orang yang dikenali.
“Pernah diberitahu yang mak ayahnya memang jaga dia betul-betul. Memang tidak boleh keluar dengan lelaki yang mak ayahnya tidak kenal,” katanya.
Ketika ditemui pemberita, kenalan tersebut sempat menziarahi kubur Nurfisya yang selamat dikebumikan sekitar jam 5.30 pagi hari ini di Tanah Perkuburan Islam Kampung Periang, kira-kira 15 kilometer dari pusat bandar Kuala Kangsar.
Jenazah dibawa dari Kota Bharu dan tiba ke kampung halaman keluarganya di sini pada pukul 4 pagi tadi dan terus dikebumikan.
Ahli keluarga mangsa memohon diberikan ruang untuk bertenang selepas melalui detik sukar tragedi itu.
Seorang lagi penduduk Taman Chandan Putri yang mengenali arwah dan keluarga pelajar tersebut terkejut dengan berita tentang kematian bekas pelajar di salah satu sekolah sekitar Bukit Chandan itu.
“Dia peramah. Saya kenalinya sejak dari kecil. Dia seorang yang baik. Sangat sedih dengan berita ini. Diharapkan keluarganya tabah,” menurut penduduk tersebut.
Media hari ini melaporkan, empat individu termasuk sepasang suami isteri ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat gadis tersebut.
Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Amirul Asyraf Abdul Rasid bagi membolehkan polis menjalankan siasatan terhadap kesemua suspek mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – KOSMO! ONLINE














