PETALING JAYA – Orang ramai yang menggunakan Jalan Ampang di sekitar pusat bandar Kuala Lumpur diminta berhati-hati dengan pembahagi jalan yang sedang dalam pembinaan di kawasan itu.
Ini kerana kata seorang pengguna di aplikasi Threads yang dikenali sebagai Ashabibi, beberapa kereta dan motosikal juga telah melanggar pembahagi jalan terbabit.
“Banyak motor kereta dah langgar divider (pembahagi jalan) ni harini (semalam). Siapa lalu Jalan Ampang tolong hati-hati. Banyak motor dan kereta langgar divider ni memang tak nampak.
“Diorang baru buat ‘divider’ baru ni makan jalan dari arah bertentangan, tapi tak ada letak kon atau apa-apa. Sumpah bahaya gila. Tolong share (kongsi) dan viralkan,” tulis pengguna itu.
Mengulas lanjut, individu itu berkata, dia telah membuat laporan polis dan pihak berkuasa telah memasang kon untuk melindungi pembahagi jalan yang berbentuk (L) itu.
“Kontraktor manalah yang buat kerja tak siap ni ? Tolong buat kerja bagi betul boleh?,” soalnya.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna turut berkongsi pengalaman sama hampir melanggar pembahagi jalan terbabit.
“Saya hampir nak kena langgar dah divider tu. Nasib baik siang, nampak la juga. Kalau malam, siapa yang luluskan ni (projek ini),” kata Syaracamelia.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Mohkhzanirodzi.
“Betullah, memang kerja gila buat divider kat Jalan Ampang ni, tempat lain semua nak besarkan jalan bagi tampung trafik.
“Kat Jalan Ampang ni boleh pulak pergi sempitkan jalan. Harap Datuk Bandar KL dapat turun padang dan lihat sendiri keadaan Jalan Ampang ni,” komennya. – KOSMO! ONLINE
View on Threads














