KAMPAR – Seorang kanak-kanak lelaki maut selepas kereta dinaiki dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang individu positif ganja dalam nahas di Kilometer 29.4 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur di Kampar pada pukul 10.35 malam semalam.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superintenden Mohamad Nazri Daud berkata, mangsa, Jayden Leong Zhi Yung, 10, yang duduk di tempat duduk penumpang hadapan sebuah kereta Perodua Bezza telah disahkan meninggal dunia kerana mengalami kecederaan parah.
“Nahas itu turut mengakibatkan seorang lagi penumpang berusia 13 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan kaki, manakala pemandu kereta tersebut cedera ringan.
“Siasatan awal mendapati, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berumur 44 tahun dari arah Ipoh ke Kampar telah hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan. Keadaan itu mengakibatkan kenderaan tersebut melanggar kereta dinaiki mangsa dan sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi yang sedang bergerak di laluan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, pelanggaran menyebabkan seorang kanak-kanak lelaki maut di tempat kejadian dan dua yang lain cedera.
Katanya, pemandu Toyota Hilux dan pemandu Perodua Myvi yang merupakan pelajar lelaki berusia 23 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Polis telah menahan pemandu Hilux bagi tujuan siasatan lanjut kerana ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu tersebut positif ganja. – KOSMO! ONLINE














