fbpx
JEMAAH haji Malaysia KT051 yang mendarat di Muscat, Oman ekoran isu teknikal pesawat selamat tiba ke Tanah Suci Mekah, semalam.

Detik mendebarkan di udara, juruterbang selamatkan 278 jemaah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEKAH – Detik mendebarkan menyelubungi 278 jemaah haji Malaysia apabila pesawat MH8110 yang dinaiki mereka tiba-tiba dirasai menurun di ruang udara Oman, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan penumpang.

Seorang jemaah, Nadia Hanis Abdul Samat, 39, berkata, suasana dalam pesawat berubah apabila tekanan udara turut bertukar sehingga menyebabkan telinga berbunyi sebelum juruterbang membuat pengumuman penting.

“Ketika itu memang terasa pesawat seperti menjunam sedikit dan keadaan agak mendebarkan. Namun juruterbang segera memaklumkan pesawat perlu mendarat di Oman.

“Walaupun cemas, kami yakin dengan kecekapan juruterbang yang dilihat sangat tenang dan profesional mengendalikan situasi,” katanya kepada Kosmo!.

Beliau merupakan antara 278 jemaah haji KT051 yang mendarat di Lapangan Terbang Muscat, Oman susulan isu teknikal pada Isnin lalu.

Bagaimanapun kesemua mereka selamat tiba di di Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz, Jeddah pada pukul 5.33 pagi dari Muscat, semalam.

Terdahulu, ketibaan rombongan jemaah itu disambut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd. Hisham Harun bersama barisan pengurusan serta petugas Lembaga Tabung Haji (TH).

Menurut Nadia Hanis, dia dimaklumkan bahawa pesawat jenis A330 yang mempunyai dua enjin dan masih mampu terbang serta membantu meredakan kebimbangan jemaah.

“Alhamdulillah, keadaan kembali tenang dan semuanya berada dalam keadaan baik tanpa sebarang masalah,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN