fbpx
Syarul Ema Rena atau Ratu Naga

Permohonan Ratu Naga rujuk persoalan undang-undang ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Syarul Ema Rena Abu Samah atau lebih dikenali Ratu Naga untuk merujuk dua persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan.

Ia berhubung isu beliau dinafikan hak untuk diwakili peguam semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Mahazan Mat Taib memutuskan demikian selepas mendapati permohonan Syarul Ema Rena tidak memenuhi ambang (threshold) di bawah Seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 selain alasan bahawa fakta sama ditahan atau tidak masih dipertikaikan dan perlu dibicara.

Justeru mahkamah kemudian menetapkan 11 Mei ini untuk pengurusan kes secara e-Review bagi menetapkan tarikh perbicaraan kes itu.

Dalam prosiding hari ini peguam Latheefa Koya yang mewakili Syarul Ema Rena manakala Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Nur Irmawatie Daud, mewakili Peguam Negara.

Pada 14 Januari lalu, Syarul Ema Rena selaku plaintif memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang dibawah seksyen 84 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

Dua persoalan undang-undang itu ialah sama ada Seksyen 28A(3), (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) adalah tidak sah atau menyalahi undang-undang atau tidak berperlembagaan kerana bercanggah dengan Perkara 5(3) Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua pula ialah, sama ada sekatan terhadap akses kepada peguam atas permintaan oleh orang yang ditahan sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 28A(3), (8) dan (9) Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) merupakan suatu tindak balas yang tidak seimbang terhadap objektif menjalankan siasatan polis dan oleh itu bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Terdahulu Syarul Ema Rena memfailkan saman pemula pada 26 Februari 2024 dengan menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, SPRM dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Dalam saman itu, plaintif memohon perisytiharan bahawa beliau mempunyai hak di sisi undang-undang menurut Perkara 5 Perlembagaan (kebebasan diri) untuk diwakili oleh peguam apabila diperiksa secara lisan dan disoal mengikut Seksyen 30(1)(a) Akta SPRM 2009.

Beliau juga memohon perisytiharan, bahawa penafian haknya untuk diwakili peguam menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 5 dan Perkara 8 (kedudukan sama rata di sisi undang-undang). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN