KUALA LUMPUR – Warga Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) diseru mengambil iktibar insiden kemalangan khususnya tragedi nahas helikopter di Lumut yang memberi kesan besar kepada perkhidmatan dan keluarga mangsa terlibat.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, insiden berkenaan menjadi peringatan bahawa setiap warga pasukan diamanahkan mengendalikan aset pertahanan negara bernilai tinggi yang menuntut tahap disiplin, profesionalisme dan pematuhan prosedur keselamatan yang tinggi.
“Pelaburan kerajaan ini adalah wang rakyat yang mesti diurus dengan teliti demi menjamin keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran negara,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Ulung yang dibacakan Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, hari ini.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan tarikh 23 April akan terus terpahat sebagai memori paling hiba buat seluruh warga TLDM dan rakyat Malaysia apabila genap dua tahun berlalu tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 perwira negara.
Insiden tersebut menyaksikan dua buah helikopter milik TLDM bertembung di udara sebelum terhempas ketika sesi latihan raptai Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut, Perak.
Nahas udara yang berlaku pada pukul 9.32 pagi itu melibatkan pesawat Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan pesawat Fennec yang membawa seramai 10 kru secara keseluruhan.
Antara perwira yang terkorban dalam pesawat HOM-AW139 ialah Kdr Muhammad Firdaus Ramli, Lt Kdr Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin, Lt Kdr Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi, PW II TLR (AQM) Muhammad Faisol Tamadun, PW II TNL Noorfarahimi Mohd Saedy, BM TNL Noor Rahiza Anuar (Penumpang) dan LK I JJM Joanna Felicia Rohna.
Sementara itu, dari pesawat Fennec dikenal pasti Kdr Muhamad Amir Mohamad, Lt T Sivasutan dan PW II TMK Mohd. Shahrizan Mohd. Termizi. – KOSMO! ONLINE














