KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menambah hukuman penjara tiga hari kepada tiga bulan terhadap pemandu e-hailing yang tular di media sosial kerana memandu kereta secara melawan arus di Jalan Klang Lama, dua minggu lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainuddin memerintahkan Wong Kok Kong, 32, menjalani hukuman tambahan itu bermula hari ini.
“Lain-lain hukuman di Mahkamah Majistret dikekalkan iaitu denda RM6,000 dan lesen dibatalkan selama lima tahun,” kata hakim itu.
Terdahulu, Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur Datuk Mohd. Nordin Ismail memohon hukuman berat terhadap Wong agar dapat memberi kesedaran kepada orang awam untuk menghormati undang-undang Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Saya percaya hukuman tersebut (penjara tiga hari) adalah tidak cukup dan saya memohon hukuman ini ditambah supaya masyarakat sedar dan menghormati undang-undang ketika memandu di kawasan yang sibuk di Kuala Lumpur,” katanya yang turut memaklumkan dan Wong sedar akan tindakannya kerana dia tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol.
Bagaimanapun peguam K.Gejalaxmi yang mewakili Kok Kong berkata hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret adalah seimbang dan adil memandangkan pengakuan bersalahnya telah menjimatkan masa mahkamah.
“Anak guam saya telah selesai menjalani hukuman penjara selama tiga hari dan telah membayar denda. Tempoh penjara lebih lama akan memudaratkannya kerana dia penanggung tunggal keluarga dan perlu menyara bapanya yang sakit,” katanya.
Pada 6 April lalu, Majistret Majistret Tg menjatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM6,000 terhadap Kok Kong dan memerintahkannya dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.
Mahkamah juga memerintahkan agar lesen memandu tertuduh digantung selama lima tahun.
Mengikut pertuduhan, Kok Kong didakwa memandu Proton Saga berwarna putih dengan cara melulu dan merbahaya kepada pengguna jalan raya lain di Jalan Klang Lama, di sini, pukul 9.44 pagi, pada 5 April lalu.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda boleh sampai RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dan lesen memandu percubaan dibatalkan. – KOSMO! ONLINE














