PUTRAJAYA- Seorang pemuda terpaksa melakukan tiga pekerjaan sehari bagi menampung kerugian lebih RM40,000 selepas terpedaya dengan tawaran skim pelaburan mesin layan diri.
Munurut mangsa yang mahu dikenali sebagai Faizi, 31, dia menyertai pelaburan tersebut selepas diperkenalkan oleh rakannya ketika menghadiri sebuah ekspo di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC).
Katanya, tawaran itu dilihat meyakinkan kerana menjanjikan pemilikan mesin selepas tempoh tertentu selain pulangan keuntungan yang stabil.
“Saya fikir masa itu lebih baik gunakan duit untuk melabur sebab saya tiada komitmen besar, tetapi akhirnya perkara sebaliknya berlaku,” katanya ketika ditemui di Jabatan Peguam Negara di sini hari ini.
Bagaimanapun, katanya, sehingga kini mesin layan diri yang dijanjikan tidak pernah diterima walaupun tempoh perjanjian hampir tamat.
Faizi berkata, dia telah membuat laporan polis pada 24 April tahun lalu, namun sehingga kini masih tiada perkembangan berhubung kes tersebut.
“Saya rasa ini mungkin jalan terakhir untuk kami, tetapi kami harap ia bukan yang terakhir kerana sudah hampir setahun kami menunggu,” katanya.
Menurutnya, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila syarikat terlibat didakwa masih belum dikenakan sebarang tindakan undang-undang walaupun pelbagai aduan telah dibuat.
“Kami sudah penat turun naik ke SSM, balai polis dan jabatan komersial, malah ada yang terpaksa mengambil cuti berkali-kali.
“Ada juga mangsa dalam kalangan pesara yang kehilangan simpanan, manakala saya sendiri terpaksa bekerja tiga pekerjaan untuk menampung kerugian,” katanya. – KOSMO! ONLINE














