JOHOR BAHRU – Empat beradik yang membesar bersama-sama di Kampung Tengah, Renggam, Kluang teruja apabila bakal bersama-sama untuk menunaikan ibadah haji secara serentak pada bulan depan.
Zulaila Jani, 56, yang merupakan Guru Besar Sekolah Agama Felda Kahang Barat akan menunaikan rukun Islam kelima itu bersama tiga adiknya, Kartina ,55; Mahayu, 54 dan Umi Nadrah, 42.
Katanya, mereka mendapat tawaran panggilan haji itu pada bulan Februari lalu dan telah membuat persiapan rapi untuk berangkat ke tanah suci Mekah pada 7 Mei depan.
“Pada tahun lalu, saya sudah mendapatkan tawaran untuk menunaikan ibadah Haji ini namun terpaksa ditangguhkan atas faktor kesihatan. Tak sangka pula, tahun ini saya sekali lagi dapat tawaran tersebut bersama tiga adik perempuan yang lain.
“Kami rasa sangat gembira dan bersyukur kerana bukan sahaja hasrat untuk menunaikan ibadah haji menjadi kenyataan, malah dapat menunaikan secara bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perjumpaan Bersama Bakal-Bakal Haji Rombongan Kerajaan Johor (RKJ) 1447/2026M di Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru di sini hari ini.
Keempat-empat beradik itu merupakan antara 500 bakal jemaah RKJ yang terdiri daripada pesara dan penjawat awam negeri.
Zulaila berkata, mereka berhajat untuk mengadakan kenduri doa selamat sebelum berangkat ke tanah suci sebagai tanda syukur dapat bersama-sama menunaikan ibadah haji.
Sementara itu, bagi pasangan suami isteri, Halim Mohammad, 56, dan isteri, Norzita Manap, 53, turut menzahirkan rasa syukur apabila hajat mereka untuk menunaikan ibadah pada tahun ini dipenuhi.
Halim yang merupakan pesara Jabatan Laut Wilayah Selatan berkata, dia memohon RKJ pada 2023 dan menerima tawaran RKJ pada Disember lalu.-KOSMO! ONLINE














