GEORGE TOWN – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat kes pemandu bas ekspres yang dipercayai memandu secara berbahaya di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, pihaknya akan menyemak terlebih dahulu kejadian yang tular menerusi satu rakaman video di media sosial tersebut.
“Selalunya kalau ada isu seperti ini kita akan menjalankan siasatan bersama PDRM. Ada kes yang akan diambil alih oleh PDRM kerana melibatkan polis. Kita perlu serah kepada mereka.
“Kes-kes yang JPJ boleh ambil tindakan adalah berkaitan Akta Pengangkutan Jalan yang tidak melibatkan elemen jenayah kemalangan dan sebagainya,” katanya pada sidang akhbar sempena pengumuman penawaran Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) di sini hari ini.
Terdahulu, Kosmo! Online melaporkan polis mengesan seorang pemandu bas ekspres disyaki memandu dalam keadaan tidak selamat susulan tular satu rakaman video di media sosial dan aplikasi WhatsApp, semalam.
Rakaman itu memaparkan pemandu terbabit menyandar ke belakang dan mengendalikan stereng menggunakan sebelah tangan ketika memandu pada waktu malam. -KOSMO! ONLINE














