fbpx
Sultan Sharafuddin ketika bertitah sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

‘Nasihat beta tidak dipeduli, ibarat curah air ke daun keladi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan teguran keras terhadap kerajaan negeri berhubung isu banjir yang masih gagal ditangani secara berkesan meskipun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini.

Sultan Sharafuddin bertitah, isu banjir telah berulang kali dibangkitkan namun masih berlaku terutama di kawasan perumahan di daerah-daerah negeri ini sehingga menyusahkan rakyat.

Baginda menegaskan pernah menasihatkan agar pihak kerajaan negeri merujuk kepada pakar-pakar dari negara luar terutama Belanda bagi mendapatkan idea terbaik dalam mengatasi masalah itu.

“Namun malangnya, nasihat beta tidak dipeduli dan tidak diambil berat, diibaratkan seperti ‘mencurah air ke daun keladi’ sahaja.

“Beta difahamkan bahawa setiap tahun akan ada peruntukan dari belanjawan negeri bagi mengatasi masalah banjir namun tiada hasil berkesan yang dapat dilihat sehingga ke hari ini,” titahnya sempena Istiadat Mesyuarat Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke-15 di Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Justeru, baginda menasihatkan sekali lagi kepada kerajaan negeri agar memberikan fokus utama terhadap isu berkenaan dengan memastikan perancangan dan tindakan untuk jangka masa pendek, sederhana serta panjang perlu segera dilaksanakan.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin mahu Sungai Klang dibersihkan bagi memastikan sumber air bersih dapat dibekalkan kepada rakyat Selangor yang populasinya bertambah secara mendadak dari tahun ke tahun.

“Beta tidak akan jemu untuk terus bertitah agar tindakan diambil sehingga masalah banjir dan bekalan air bersih ini diselesaikan dan ditamatkan ‘once and for all’,” titah baginda.

Dalam pada itu, baginda menegaskan bahawa kerajaan harus peka terhadap kilang-kilang yang tidak menguruskan sisa secara berhemah kerana ini mampu mendatangkan risiko pencemaran sungai.

“Tindakan keras harus diambil terutamanya kepada kilang yang didapati beroperasi tanpa kebenaran daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” titahnya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN