PETALING JAYA – Sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat Diraja dikenal pasti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh Januari hingga April lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, akaun palsu itu termasuk yang melibatkan Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin.
Menurut beliau, tindakan permohonan penurunan telah dilaksanakan dan sehingga kini, penyedia platform media sosial telah menurunkan sebanyak 14,750 akaun berkenaan.
“Menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj atas perkenan Tuanku menerima patik menghadap bagi menyembah maklum laporan terkini penurunan akaun palsu yang melibatkan kerabat Diraja bagi tempoh Januari hingga April 2026.
“Berdasarkan pemantauan MCMC serta aduan awam yang diterima, sebanyak 15,296 akaun palsu menggunakan nama 26 kerabat Diraja telah dikenal pasti,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beliau turut menyembah maklum kepada Sultan Selangor berhubung pelaksanaan sistem pengesahan identiti secara elektronik atau Electronic Know Your Customer (e-KYC).
Katanya, langkah itu dilaksanakan bagi memperkukuh perlindungan kanak-kanak dan keluarga dalam persekitaran digital.
“Patik menjunjung kasih atas pandangan, titah serta nasihat DYMM Tuanku berhubung pelbagai isu semasa, khususnya berkaitan penyalahgunaan platform dalam talian dan isu 3R melibatkan agama, kaum dan institusi Diraja yang mutakhir ini semakin membimbangkan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














