SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kebimbangan terhadap perpecahan dan pertelingkahan dalam kalangan orang Melayu serta umat Islam yang disifatkan mampu melemahkan bangsa sendiri jika tidak dihentikan segera.
Baginda bertitah, perpecahan berterusan khususnya melibatkan pemimpin politik dan rakyat hanya akan menyebabkan orang Melayu dan umat Islam menjadi lemah serta membuka ruang kepada pihak luar mengambil kesempatan.
“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita yang akan rugi dan lemah.
“Beta juga perhatikan sejak akhir-akhir ini terlalu banyak pertelingkahan dan perselisihan berlaku dalam kalangan ahli politik sehingga boleh menimbulkan keresahan rakyat.
“Semua pihak seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah lampau apabila perpecahan orang Melayu Islam telah membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan dan melemahkan kuasa serta kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri,” titah baginda dalam kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.
Sultan Sharafuddin menegaskan bahawa perpaduan orang Melayu tidak harus disalah tafsir sebagai usaha untuk bermusuhan dengan semua kaum lain di negara ini.
Sebaliknya, titah baginda, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup bersatu akan menjadikan negara lebih aman, stabil dan rakyatnya saling menghormati.
“Di kesempatan sambutan Aidiladha ini juga, Beta mahu agar semua kaum, bangsa dan semua agama di Negara ini saling hormat menghormati sensitiviti antara satu sama lain dan hidup aman damai.
“Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika era Kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat berbilang bangsa hidup harmoni di bawah pemerintahan Islam,” titahnya.
Sultan Sharafuddin turut bertitah agar mengambil teladan dari perayaan Aidiladha yang mengajar umat Islam mengenai erti pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah.
“Ketika jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira pangkat, bangsa dan kedudukan, mereka menunjukkan satu contoh perpaduan yang amat besar nilainya kepada seluruh dunia Islam,” titahnya.
Pada masa sama, baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat di Selangor.
Baginda berdua turut mendoakan seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah mereka, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur.
Baginda turut mendoakan agar seluruh jemaah haji Malaysia dipermudahkan segala urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik, kembali ke tanah air dengan selamat serta memperoleh haji yang mabrur. – KOSMO! ONLINE














