fbpx
Gambar hiasan.

Bangunkan Langkawi ikut acuan sendiri, tidak tiru Phuket, Bali – Sultan Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan serta identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkannya dengan Phuket atau Bali kerana dianggap sebagai aset strategik negeri dan negara.

“Sebagai destinasi pelancongan utama serta pemangkin pertumbuhan ekonomi negeri, beta mahu pembangunan Pulau Langkawi dibentuk mengikut acuan dan identiti tersendiri, tanpa meniru atau membandingkan seperti Phuket atau Bali.

“Kekuatan sebenar Langkawi terletak pada khazanah alam semula jadi dan warisan unik yang dimilikinya. Justeru, aset berharga ini wajib dipelihara dan dibangunkan secara lestari,” titah baginda pada Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-Darjah serta Bintang-Bintang Kebesaran Sempena Sambutan Ulang Tahun dan Hari Keputeraan Sultan Kedah Ke-84 di Istana Anak Bukit, di sini hari ini.

Turut berangkat ke istiadat itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff serta Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Sultan Sallehuddin turut bertitah bahawa baginda tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil kesempatan membuat sebarang tindakan atau kenyataan yang boleh mencemarkan imej dan reputasi Pulau Langkawi.

Sementara itu, dalam titah sama, baginda bertitah supaya tindakan segera diambil berhubung kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik di negeri itu.

“Dalam usaha memastikan pembangunan negeri dapat dilaksanakan dan memberi manfaat kepada rakyat, beta memandang serius kelewatan pelaksanaan beberapa projek infrastruktur strategik seperti Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedah/Anak Bukit yang masih belum disiapkan sejak sekian lama.

“Kelewatan ini mengakibatkan kejadian banjir yang berulang dan menjejaskan penduduk di kawasan terlibat. Beta mahu tindakan segera diambil agar rakyat beta tidak lagi dibebani masalah yang sama,” titah baginda. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN