KOTA TINGGI – Barisan Nasional (BN) tidak ‘koyak’ susulan tindakan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd Puad Zarkashi menghadiri ceramah Pakatan Harapan (PH) malam tadi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan perkara itu kecil kerana BN mempunyai cabaran lebih besar berbanding apa yang dilakukan Mohd Fuad.
Katanya, tindakan dilakukan itu juga adalah sebagai agenda peribadi selepas cadangan untuk meletakkan anaknya sebagai calon pilihan raya tidak diterima parti.
”BN berhadapan dengan cabaran lebih besar daripada itu. Dia (Mohd Fuad) bukan lagi ahli UMNO kerana dia dah letak jawatan. Jadi, dia nak pergi mana-mana pun, UMNO tak ambil kisahlah. Dan soal dia pergi ke Rengit untuk menyokong, kerana daripada tindak tanduk itu kita boleh tahu dan kesan mengapa dia lakukan itu semua dan sebagainya.
“Dia berkait rapat dengan soal dia mencadangkan anaknya untuk menggantikan dia dan oleh kerana anaknya tak dapat agaknya dia nak pastikan yang dapat itu tak boleh menang. Jadi, ia nampak sangat sudah menjadi satu perjuangan peribadi. Jadi, biarlah dia dengan cara dia,” katanya kepada pemberita selepas hadir Program Ilmiah Keagamaan Masyarakat (PIKAT) di Felda Air Tawar 2 hari ini.
Mengulas mengenai manifesto PH untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, katanya, beliau melihat mempunyai banyak persamaan dengan tawaran diketengahkan BN sekali gus membuktikan formula yang dibawa BN selama ini sememangnya tepat untuk memajukan Johor.
“Jadi persoalannya sekarang ialah, adakah manifesto itu akan terlaksana? Maka di sinilah akan ditentukan oleh pengalaman dan keupayaan, kemampuan untuk mentadbir dan mengurus,” katanya.














