PETALING JAYA – Orang ramai khususnya pengguna jalan raya di Terengganu, dinasihatkan supaya lebih berwaspada susulan kemunculan seekor harimau kumbang di pinggir jalan berhampiran kawasan Tasik Kenyir yang sempat dirakam seorang lelaki malam tadi.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh Mohd Amirul di Facebook, kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira pukul 8.06 malam di tepi Lebuh Raya Timur-Barat Kedua berhampiran stesen minyak Petron Tasik Kenyir, Gawi, Terengganu.
“Bahaya jika motor lalu di Jalan Gawi betul-betul berhadapan stesen minyak. Hati-hati semua bila lalu kawasan sini,” katanya dalam video tersebut.
Pemuda yang merakam video itu turut mengambil langkah berani dengan menghalau haiwan liar berkenaan agar kembali memasuki kawasan hutan.
Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang mengingatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berwaspada, bimbang bertemu dengan haiwan liar.
“Itu habitatnya, kita kena berjaga-jaga jika tahu dia ada di situ. Terima kasih orang baik hati bagi informasi. Siap suruh ‘dia’ masuk hutan balik,” komen Maznah Citnah.
“Hati-hati, semua. Pandu dengan cermat di kawasan ini. Ada haiwan liar yang perlu kita sama-sama lindungi,” tulis Grandna.
“Mau, jaga diri! Kereta banyak tu. Wakanda Forever!” komen seorang lagi pengguna. – KOSMO! ONLINE














