BUKIT KAYU HITAM – Thailand terus menjadi destinasi pilihan wanita Malaysia yang ingin berkahwin dengan warga asing kerana proses pernikahan di negara jiran itu dianggap lebih mudah dan cepat.
Seorang ejen nikah Siam yang mahu dikenali sebagai Rudi berkata, hampir setiap minggu terdapat pasangan rakyat tempatan dan warga asing mendapatkan khidmatnya untuk menguruskan perkahwinan mereka di negara jiran.
Katanya, kebanyakan wanita tempatan memilih lelaki warga Pakistan atau Bangladesh untuk dijadikan suami, manakala lelaki Malaysia pula bernikah dengan wanita Indonesia.
“Mereka memilih bernikah di Thailand kerana urusan dokumentasi dan syarat perkahwinan lebih mudah berbanding di Malaysia. Boleh dikatakan terdapat satu atau dua pasangan pengantin yang bernikah di Siam setiap minggu.
“Jika di Malaysia, urusan dokumentasi agak rumit memandangkan mereka perlu mendapatkan pengesahan dan dokumen dari negara asal (pasangan),” katanya kepada Kosmo! Ahad baru-baru ini.
Menurut Rudi, kebanyakan wanita tempatan yang bernikah warga asing berusia 40 tahun ke atas dan majoriti mereka adalah ibu tunggal, manakala lelaki asing pula kebanyakannya berusia lingkungan 30 hingga 40-an.
“Rata-rata mereka sudah lama mengenali pasangan masing-masing kerana warga asing terbabit sudah berada agak lama di negara ini,” ujarnya.
Rudi berkata, selain faktor dokumentasi, terdapat pasangan yang memilih bernikah di negara jiran kerana mahu berpoligami atau berdepan masalah berkaitan wali.
Walau bagaimanapun, Rudi tidak menerima pasangan yang gagal mengemukakan dokumen lengkap kerana boleh menimbulkan masalah ketika proses pendaftaran perkahwinan di Malaysia kelak.
Katanya, pakej perkahwinan di Thailand yang ditawarkan ketika ini adalah RM2,000 termasuk urusan dokumentasi dan pengesahan.
Rudi juga tidak menolak kemungkinan terdapat warga asing yang mahu berkahwin dengan wanita tempatan bagi memudahkan urusan perniagaan, penyewaan premis atau pembukaan akaun bank di negara ini.
“Bukan semua begitu, tetapi memang ada kes warga asing mencari pasangan orang tempatan untuk menggunakan nama dalam urusan perniagaan,” katanya.
Seorang lagi ejen perkahwinan, Mohd. Zaidi Desa berkata, sejak dua tahun lalu, bilangan wanita tempatan yang mendapatkan maklumat untuk berkahwin dengan warga asing terutama Pakistan dan Bangladesh makin bertambah.
Katanya, dia kerap menerima pertanyaan daripada wanita tempatan yang mahu berkahwin dengan warga asing, namun menolak untuk menguruskan kes-kes tertentu yang berisiko menimbulkan masalah pada masa akan datang.
“Memang ada wanita tempatan yang bertanyakan mengenai prosedur untuk berkahwin dengan warga asing, tetapi saya tidak ambil semua kes.
“Selain Pakistan dan Bangladesh, saya juga pernah menerima pertanyaan daripada wanita Malaysia yang mahu berkahwin dengan lelaki etnik Rohingya. Jadi saya memang tolak dari awal,” katanya.
Menurut Zaidi, perkahwinan melibatkan pelarian, pendatang asing tanpa izin atau individu yang tidak mempunyai dokumen lengkap boleh menimbulkan pelbagai masalah apabila pasangan mahu mendaftarkan perkahwinan di Malaysia kelak.
“Apabila timbul masalah dokumentasi, anak yang lahir hasil perkahwinan itu berisiko berdepan isu kerakyatan dan status diri.
“Sebab itu saya selalu nasihatkan pasangan supaya menyediakan semua dokumen dan semak status pasangan terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk berkahwin,” ujarnya.
Kosmo! Ahad pada 21 Jun lalu melaporkan sebahagian warga asing sanggup berkahwin dengan wanita tempatan walaupun lebih berusia sebagai strategi mudah untuk mendapatkan lesen perniagaan sebelum mengembangkan empayar bisnes mereka di negara ini.
Modus operandi itu menjadi cabaran kepada pihak berkuasa apabila warga asing terbabit berselindung di sebalik nama dan lesen perniagaan milik isteri tempatan menyebabkan tindakan pengesanan dan penguatkuasaan sukar dilaksanakan.














