KUANTAN – Sebanyak 18 projek tebatan banjir bernilai RM3.184 bilion diluluskan untuk dilaksanakan di negeri ini dalam usaha mengatasi isu banjir yang boleh merosakkan harta benda dan mengorbankan nyawa.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah yang diluluskan itu sebanyak 11 projek telah bermula secara fizikal, manakala enam projek dalam proses reka bentuk dan satu projek baru diluluskan.
“Alhamdulillah, kosnya RM3.184 bilion begitu banyak dan saya yakin ianya akan dapat mengurangkan risiko banjir,” katanya menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabai, V. Arumugam yang bertanya berhubung tahap perkembangan dan pelaksanaan projek-projek rancangan tebatan banjir pada Mesyuarat Pertama Penggal kelima Dewan Undangan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Menurut Wan Rosdy, antara projek yang telah bermula secara fizikal adalah menyiapkan baki kerja rancangan tebatan banjir Bandar Pekan, Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Kuantan, PLSB Sungai Semantan dan lain-lain lagi.
Katanya, antara projek dalam proses reka bentuk melibatkan daerah Temerloh, PLSB Sungai Semantan, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Bentong, Rancangan Tebatan Banjir Sg Krau, Racangan Tebatan Banjir Sungai Dong dan Sungai Gali di Raub serta Rancangan Tebatan Banjir Sungai Lipis.
Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan mengenai projek tebatan banjir di Sungai Bentong yang bermula 2025, beliau berkata projek itu dijangka siap pada November 2029.
“Äntara skop kerja ialah dengan mendalamkan sungai supaya air boleh lalu dengan laju, selain itu kita membina tebatan banjir, mengukuhkan tebing sungai dan dalam masa yang sama kita boleh naikkan empangan di Repas Baru dan di Perting.
“Sekiranya semua berjalan lancar, kontraktor yang bagus dipilih dan tidak ada masalah dibawah kawalan kita ia dijangka siap pada November 2029,” katanya. – KOSMO! ONLINE














