PETALING JAYA – Terowong Lebuh Raya SMART telah ditutup sepenuhnya untuk laluan pengguna bagi persediaan operasi banjir.
SMART Expressway dalam kenyataan memaklumkan, laluan berkenaan mula ditutup sekitar pukul 2.35 petang.
“Laluan trafik di terowong SMART telah ditutup dengan pengaktifan Mod 3,” katanya ringkas hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan penduduk di ibu negara dinasihatkan agar berwaspada apabila paras Sungai Klang direkodkan melepasi paras bahaya ekoran hujan lebat sejak pagi tadi.
Menerusi laman web info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), setakat pukul 2.30 petang, paras Sungai Klang menunjukkan trend meningkat.
Berdasarkan data aras sungai, paras air melibatkan Stesen Sungai Klang di Lembah Keramat merekodkan bacaan 49.95 meter berbanding 44.75 meter (normal).
Sementara itu, di Selangor, Stesen Sungai Binjai di Pekan Meru melepasi paras amaran dengan bacaan 4.06 meter, manakala Sungai Ampang di Kampung Lembah Jaya Utara, Ampang melepasi paras waspada.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir dan hujan lebat membabitkan beberapa kawasan di 10 negeri termasuk Sabah dan Sarawak.
Menurut MetMalaysia, cuaca buruk itu dijangka berlarutan sehingga pukul 5 petang. – KOSMO! ONLINE














