REMBAU – Tembelang seorang pesara polis membawa empat biji pil ekstasi terbongkar apabila dia diberkas setelah dikejar sejauh 50 kilometer ketika cuba melarikan diri selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Seremban-Tampin di Chembong di sini kelmarin.
Pemangku Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Azmi Ali berkata, wanita berusia dalam lingkungan 60-an itu diberkas pada pukul 10.30 malam di Jalan Bukit Beruang, Melaka.
Katanya, kejadian berlaku apabila suspek cuba melarikan diri selepas kereta jenis Honda City dipandunya melanggar sebuah van di Taman Sedia Raja, Chembong.
“Suspek enggan berhenti apabila diarahkan sebelum ditahan di Jalan Bukit Beruang, Melaka selepas dikejar sejauh 50 kilometer oleh polis daripada tiga daerah iaitu Kota, Alor Gajah dan Melaka Tengah.
“Pemeriksaan menemui satu beg mengandungi empat biji pil ekstasi. Suspek yang pencen dengan pangkat sarjan mengalami kecederaan bengkak pada kening kiri dan kanan akibat kemalangan itu,” katanya.
Suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959. – KOSMO! ONLINE














