fbpx
Sultan Selangor memuji cemerlang Lembaga Tabung Haji atas kejayaan menerima Labaytum Diamond Award.

Sultan Selangor puji kecemerlangan Tabung Haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah memuji cemerlang Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan menerima Labaytum Diamond Award dua tahun berturut-turut bagi musim haji 1447H/2026M daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.

Baginda bertitah, pengiktirafan berprestij yang diterima buat kali kelima membuktikan kecekapan, profesionalisme serta komitmen tinggi seluruh warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.

Menurut baginda, kejayaan tersebut bukan sahaja membanggakan TH, malah mengharumkan nama Malaysia serta mengukuhkan reputasi negara sebagai antara peneraju pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip syariah.

“Beta sendiri pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali serta beberapa kali mengerjakan ibadah umrah melalui bimbingan Tabung Haji.

“Berdasarkan pengalaman peribadi tersebut, beta menzahirkan penghargaan terhadap mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh Tabung Haji yang disifatkan beta sebagai amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah di sini, hari ini.

Dalam pada itu, baginda turut mengimbas sejarah penubuhan TH yang dicetuskan Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1959 menerusi idea mewujudkan model simpanan dan pelaburan patuh syariah bagi membantu orang Melayu Islam menyimpan wang untuk menunaikan haji secara terancang tanpa perlu menjual aset atau berhutang

Titah baginda, visi tokoh ekonomi negara itu telah membantu jutaan umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima dengan kaedah yang sistematik.

Sultan Sharafuddin turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa menunjukkan disiplin, adab dan akhlak tinggi sepanjang berada di Tanah Suci.

“Sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan kepada peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara.

“Beta percaya bahawa kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pihak pengurusan Tabung Haji khususnya Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta petugas-petugas haji dan para jemaah sendiri yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta memelihara nama baik negara,” titahnya.

Justeru, baginda menzahirkan keyakinan bahawa TH akan terus mengekalkan kecemerlangan serta berusaha secara berterusan untuk menambah baik operasi dan mutu perkhidmatannya dari semasa ke semasa.

“Beta berharap institusi tersebut akan terus menjadi kebanggaan negara dan kekal komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada para Dhuyufurrahman demi kemaslahatan ummah serta kesejahteraan umat Islam seluruhnya,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN