KUALA TERENGGGANU – Tabung Haji (TH) telah menghantar notifikasi peringatan kepada lebih 60,000 bakal jemaah haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M mulai 1 Julai lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad berkata, insiatif tersebut sebagai galakan terhadap semua bakal haji terlibat membuat persediaan awal dari segi kewangan, kesihatan, pengetahuan agama dan mental sebelum menerima tawaran rasmi selepas ini.
Beliau berkata, notifikasi menerusi kiriman pesanan ringkas (SMS) dan emel tersebut merupakan penambahbaikan daripada inisiatif yang telah dirintis TH sejak tahun lalu.
“Berbanding tahun lalu, kali ini kita menghantar notifikasi kepada bakal haji bagi musim 1448H/2027M dan 1449H/2028M lebih awal iaitu bermula 1 Julai lalu iaitu pada hari terakhir penerbangan pulang jemaah haji musim lalu .
“Ia bertujuan supaya mereka buat persediaan awal bagi mengelak rasa terbeban sekali gus dapat menunaikan ibadah haji dengan tenang di Tanah Suci nanti,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui selepas merasmikan program literasi kewangan, Cilik-Cilik Dah Celik peringkat Pantai Timur melibatkan 100 keluarga dari Terengganu, Kelantan dan Pahang.
Mustakim berkata, notifikasi peringatan tersebut bukanlah tawaran rasmi menunaikan haji memandangkan pelbagai prasyarat lain masih perlu dipenuhi termasuk memiliki simpanan sekurang-kurangnya RM15,000 dalam akaun Tabung Haji.
Beliau berkata, ia disebabkan kos minimum untuk menunaikan ibadah haji bagi golongan kurang berkemampuan atau B40 pada masa ini ialah RM15,000. – KOSMO! ONLINE














