fbpx
CALON BN daripada parti MIC dari kiri Rugendran, Raven Kumar, Kumaran dan Pannir Selvam.

PRN Johor: MIC cemerlang, sapu bersih 4 kerusi DUN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JOHOR BAHRU – MIC muncul antara parti paling cemerlang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 apabila mencatat kadar kemenangan 100 peratus selepas menyapu bersih kesemua empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya.

Pencapaian itu sekali gus menjadikan MIC satu-satunya parti yang merekodkan kemenangan sempurna dalam kalangan semua parti yang bertanding pada PRN kali ini.

Empat kerusi yang dimenangi MIC ialah DUN Kemelah, Kahang, Perling dan Bukit Batu, sekali gus memperkukuhkan kedudukan parti itu dalam Barisan Nasional (BN).

Di DUN Kemelah, Pengerusi MIC Johor, K. Raven Kumar yang berpindah gelanggang daripada DUN Tenggaroh berjaya mempertahankan kubu kuat BN apabila menewaskan Mohd. Afif Abd. Hamid (PH) dan Uzzair Ismail (PN).

Kemenangan itu memastikan kerusi yang sebelum ini disandang N. Saraswathy terus kekal dalam genggaman BN.

Di DUN Kahang pula, calon muka baharu, V. Rugendran membuktikan kemampuannya apabila menewaskan Mohd. Sabri Abd. Kadir (PH) dan bekas pemimpin kanan Bersatu, Mazlan Bujang (PN), sekali gus mengekalkan penguasaan BN di kerusi yang sebelum ini diwakili R. Vidyananthan selama empat penggal.

Lebih manis, MIC turut mencipta kejutan apabila berjaya merampas dua kerusi milik Pakatan Harapan (PH), iaitu Perling dan Bukit Batu.

Di Perling, P. Pannir Selvam mengejutkan ramai apabila menumbangkan calon DAP, Alan Tee Boon Tsong dalam saingan tiga penjuru yang turut melibatkan calon Bersama, Boo Wei Han.

Kerusi itu sebelum ini disandang Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong yang memenanginya pada PRN 2022 dengan majoriti 3,347 undi.

Sementara itu, Setiausaha MIC Johor, R. Kumaran turut mencipta kemenangan bermakna apabila merampas DUN Bukit Batu daripada penyandang PKR, Chiong Sen Sern.

Dalam pertandingan lima penjuru yang turut melibatkan calon PN, Muda, Bersama dan Bebas, R. Kumaran berjaya memecahkan penguasaan PH di kerusi yang dimenangi PKR dengan majoriti hanya 137 undi pada PRN 2022.

Keputusan tersebut mengukuhkan lagi prestasi cemerlang MIC dalam PRN Johor apabila bukan sahaja mempertahankan dua kerusi tradisinya, malah berjaya merampas dua lagi kerusi daripada PH untuk melakar rekod kemenangan sempurna.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN