fbpx
ANTHONY ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Amal di Bakri, Johor hari ini.

Projek LRT3: DAP akan mohon menghadap Sultan Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MUAR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook akan memohon menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memberikan penjelasan susulan titah baginda berhubung isu rasionalisasi projek Laluan Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).

Beliau berkata, pihaknya menerima teguran baginda dengan hati terbuka dan mahu menjelaskan fakta sebenar berhubung keputusan merasionalisasikan kos projek berkenaan.

Menurut Anthony, pada hari ini juga bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan penasihatnya ketika itu, Tony Pua telah mengeluarkan kenyataan bersama bagi menjelaskan fakta berkaitan keputusan berkenaan.

“Memang saya akan memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan.

“Hari ini juga ada kenyataan bersama daripada Guan Eng dan Tony Pua berkenaan fakta-fakta yang perlu diketengahkan. Jadi teguran itu kita terima, tetapi saya akan cuba memohon untuk menghadap Tuanku Sultan Selangor untuk memberikan penjelasan,” katanya selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal di Bakri, di sini hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu penting bagi menjelaskan bahawa keputusan yang dibuat ketika pentadbiran Pakatan Harapan bukan bertujuan membatalkan projek tersebut.

“Bukannya soal kita nak membatalkan projek itu, cuma untuk merasionalisasikan kos projek tersebut,” katanya.

Semalam, Sultan Selangor bertitah bahawa Guan Eng dan Tony Pua tidak memahami kepentingan projek LRT3 apabila mengecilkan skop projek itu ketika pertukaran kerajaan berlaku pada 2018, termasuk membatalkan lima stesen dan mengurangkan kapasiti tren.

Baginda turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana meneruskan projek tersebut.

Susulan titah itu, Guan Eng dan Tony Pua kemudian hari ini mengeluarkan kenyataan bersama mempertahankan keputusan merasionalisasikan projek LRT3. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN