SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) memantau ketat harga makanan dan minuman di lebih 300 kafe kampus universiti itu bagi memenuhi keperluan 170, 000 pelajar susulan ketidaktentuan konflik Asia Barat.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof. Dr. Mohd. Sazili Shahibi berkata, langkah tegas itu bagi menjaga kebajikan pelajar terutama golongan kurang berkemampuan atau B40.
Katanya, pihaknya mahu memastikan semua peniaga di setiap kampus negeri terus menyediakan menu dengan harga berpatutan dan sesuai dengan bajet pelajar.
“Berikutan ketidaktentuan geopolitik dunia ketika ini, UiTM akan memantau rapi semua harga makanan dan minuman di semua kafe sedia ada.
“Kita tidak mahu peniaga guna kesempatan sewenang-wenangnya menaikkan harga sehingga membebankan ‘poket’ pelajar,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Hakim Kafe di Pusat Sukan UiTM Shah Alam di sini, hari ini.
Menurut Mohd. Sazili, pemantauan pihaknya mendapati tiada peningkatan harga makanan dan peniaga ‘gulung tikar’ setakat ini.
“Pelajar yang mempunyai aduan mengenai isu harga dan kebersihan boleh menyalurkan terus kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar kampus masing-masing bagi tindakan lanjut,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














