fbpx
Kanan: Siswi UPM, Hanis mampu menjana pendapatan hingga RM100 sehari terutama pada hujung minggu dengan bekerja sambilan sebagai pemandu e-hailing. LUQMAN bergambar di hadapan kafe yang ditubuhkannya di UUM Sintok.

Survival siswa, siswi harungi beban kos hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SUASANA kampus hari ini bukan lagi sekadar dipenuhi dengan rutin menghadiri kuliah, menyiapkan tugasan dan menduduki peperiksaan.

Di sebalik jadual akademik yang padat, semakin ramai mahasiswa memilih untuk mengisi masa lapang dengan bekerja sambilan sebagai ikhtiar menampung kos sara hidup yang kian meningkat terutama di bandar.

Ada yang menjadi barista, pembantu jualan, penghantar makanan, pembantu penyelidik, jurugambar bebas, pereka grafik hinggalah pencipta kandungan digital.

Malah, tidak kurang juga yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan di dalam kampus demi memperoleh pendapatan tambahan untuk membayar sewa rumah, membeli keperluan harian dan mengurangkan beban kewangan keluarga.

Meskipun terpaksa mengorbankan waktu rehat dan hujung minggu, kebanyakan mahasiswa percaya pengalaman bekerja sejak di bangku universiti memberi nilai tambah apabila melangkah ke alam pekerjaan kelak.

Mereka bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah sudah biasa berdepan tekanan, memahami budaya kerja dan lebih yakin berinteraksi dalam persekitaran profesional.

Namun, di sebalik semangat membara itu, cabaran tetap wujud. Mengimbangi komitmen akademik dengan jadual kerja yang tidak menentu menuntut pengorbanan besar.

Tanpa pengurusan masa yang baik, prestasi pengajian boleh terjejas, sekali gus menuntut mahasiswa bijak menetapkan keutamaan agar kedua-duanya seiring.

Ikuti perkongsian tiga mahasiswa yang sanggup menggalas dua tanggungjawab dalam satu masa ini di samping membuktikan bekerja sambilan bukan penghalang dalam mengikuti pengajian.

Bagi pelajar Bacelor Sains Fizik dengan Kepujian di Universiti Putra Malaysia (UPM), Hanis Amirah Aznan, 24, faktor utama yang mendorong dirinya menceburi kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing (Student Cab UPM) tidak lain tidak bukan kerana mahu menambah pendapatan harian.

“Saya tidak mahu bergantung harap sepenuhnya kepada ibu bapa.

“Saya mahu mengurangkan beban tanggungan mereka kerana saya mempunyai tiga lagi adik yang masih belajar,” katanya kepada K-Kampus.

Ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara pengajian dan bekerja, anak kelahiran Bentong, Pahang ini memberitahu, kebiasaannya dia akan bekerja part-time selepas habis waktu kuliah.

“Saya sedar e-hailing ini hanyalah kerja sampingan dan saya tahu tugas hakiki saya sebagai seorang mahasiswi UPM perlu diberi keutamaan,” katanya yang sudah lebih dua tahun bekerja sambilan e-hailing dan kini berada di tahun akhir pengajian.

Jelas anak kedua daripada lima beradik itu, dia bersyukur kerana dapat membahagikan masa dan menjaga prestasi pelajaran selain diberi izin keluarga yang sangat menyokong keputusannya untuk bekerja sambil belajar.

Ditanya berapa purata pendapatan yang diperolehnya sebagai pemandu Student Cab, Hanis memberitahu, pendapatan bergantung kepada jam dia bekerja.

“Kebiasaannya pada hari biasa saya akan dapat dalam purata RM50 sehari dan RM100 sehari pada hujung minggu.

“Pendapatan yang saya peroleh akan dibahagikan untuk biaya harian seperti makan dan membeli barang keperluan dan selebihnya sebagai balik modal untuk mengisi minyak kereta yang dipinjamkan ayah dari kampung,” katanya.

Untuk makluman, Student Cab merupakan perkhidmatan pengangkutan e-hailing atau kereta sewa inisiatif UPM sendiri yang diusahakan oleh pelajar dan alumni UPM. Ia menawarkan perkhidmatan penghantaran peribadi, biasanya dengan harga tetap dan lebih berpatutan untuk perjalanan ulang-alik dari dalam kampus ke kawasan berhampiran.

Perkhidmatan tersebut popular dalam kalangan warga UPM untuk ke beberapa destinasi tetap seperti Stesen Kereta Api Serdang, Terminal Bersepadu Selatan, pusat beli-belah IOI City Mall, kawasan Sri Serdang dan sekitar kampus.

Berkongsi cabaran usai lebih dua tahun bekerja sambilan e-hailing, lebih-lebih lagi wanita, Hanis mengakui cabaran terbesar yang pernah dihadapi ketika mana keretanya berdepan masalah kerosakan.

“Saya perlu mengeluarkan duit untuk penyelenggaraan kereta dan bagi saya itu merupakan cabaran terbesar bagi seorang pelajar yang bekerja sementara.

“Soal penat, ada hari yang saya rasa terlalu penat untuk sambung bekerja, tetapi saya juga tidak mahu masa lapang dibiarkan tanpa bekerja atau tanpa membuat sesuatu,” katanya.

Bagi Hanis yang bercita-cita menjadi seorang penyelidik fizik itu, pengalaman bekerja banyak membantu dirinya dalam membina keyakinan diri sekali gus memperbaiki kemahiran berkomunikasi dengan pelanggan.

Katanya, menerusi kerjanya itu, dia sentiasa berdisiplin dengan menepati masa untuk sampai tepat mengambil pelanggannya yang juga dalam kalangan pelajar dan staf kampus.

Sementara itu, seorang pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Nurashikin Jenie, 24, turut memilih untuk bekerja sambilan sebagai pembantu kafe di kampus sejak Oktober 2025.

Bagi anak jati Limbang, Sarawak yang sedang mengikuti kursus Ijazah Sarjana Muda Kekayaan Islam dengan Kepujian dan berada di semester akhir itu, dia memilih untuk bekerja kerana mahu mencari duit poket.

Selain itu, lokasi kafe yang sangat dekat dengan kolej kediaman dan fakulti tempatnya belajar juga menjadi salah satu faktor dia mendapatkan kerja di situ.

“Saya hanya bekerja pada waktu lapang dan biasanya selepas habis kelas pada waktu petang atau hujung minggu.

NURASHIKIN memilih untuk bekerja sebagai pembantu kafe di kampus UniSZA bagi mencari duit poket sepanjang keberadaannya di kampus.

“Pada minggu peperiksaan, saya akan mengurangkan waktu bekerja atau memohon cuti supaya dapat memberi tumpuan sepenuhnya kepada ulang kaji,” katanya.
Berkongsi skop tugas yang diamanahkan, anak sulung daripada empat beradik ini memberitahu tugas hariannya mengendalikan pembayaran di kaunter, menjadi pembantu dapur serta memastikan kebersihan kawasan kafe sentiasa terjaga.

“Pengalaman yang paling menarik apabila dapat berinteraksi dengan ramai pelanggan daripada pelbagai lapisan demografi.

“Saya dibayar upah RM5 setiap jam dan biasanya saya bekerja 8 jam sehari.

“Pendapatan tersebut membantu saya menampung keperluan harian dan sedikit sebanyak mengurangkan beban kewangan keluarga.

“Walaupun tidak mencukupi untuk semua perbelanjaan, ia sangat membantu menampung kehidupan pelajar di kampus seperti saya,” katanya.

Ditanya mengenai cabaran kerja, Nurashikin mengakui cabaran terbesar untuk mengurus masa dan tenaga.

Jelasnya, adakalanya dia perlu menghadiri kelas pada waktu pagi dan bekerja pada waktu petang hingga lewat malam.

“Keadaan ini agak memenatkan, namun saya belajar untuk mengurus jadual dengan lebih teratur supaya tidak menjejaskan prestasi akademik,” ujarnya.

Bagi siswi yang bercita-cita bergelar wealth planner ini, pengalaman bekerja banyak membantu dirinya terutama dalam aspek komunikasi, belajar untuk bekerja dalam satu pasukan, mengurus tekanan ketika waktu sibuk serta meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah.

“Semua pengalaman ini amat berguna sebagai persediaan sebelum memasuki alam pekerjaan sebenar.

“Bekerja di kafe ini juga memberi inspirasi kepada saya untuk menceburi bidang perniagaan, khususnya dalam sektor makanan dan minuman atau perniagaan kecil sebagai sumber pendapatan tambahan pada masa hadapan,” katanya.

Di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah, Luqman Hakim Zawawai, 23, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa berkata, pengalamannya bekerja sambilan di CXBS Cafe di Setia Alam sebelum mendaftar diri di kampus banyak membentuk dirinya ketika ini.

Menurutnya, dari situ dia belajar perkara asas seperti membuat minuman, melayan pelanggan, mengurus stok dan melihat operasi sesebuah kafe dijalankan.

Siapa sangka, tidak sampai beberapa tahun di kampus dan bermodalkan RM8,000 daripada wang simpanan dan pinjaman ibu bapa, Luqman dan rakan-rakannya berjaya menubuhkan Chatter Coffee dan kemudiannya mengembangkan operasi melalui Sepagi Kopitiam di UUM.

“Dari seluruh pengalaman itu telah membuka mata saya bahawa perniagaan bukan sekadar menjual kopi dan makanan, tetapi tentang bagaimana untuk menguruskan sesebuah perniagaan dengan sistematik,” katanya.

Berkongsi cabaran bergelar pelajar semester enam dan usahawan dalam satu masa, anak bongsu daripada tiga beradik ini mengakui pengurusan masa menjadi cabaran utama.

“Ada masanya saya perlu menghadiri kelas pada waktu siang, mengurus operasi kafe dan pada masa sama menyiapkan tugasan universiti.

“Saya belajar menyusun jadual, membina pasukan yang boleh dipercayai dan mendelegasikan tugas supaya operasi berjalan lancar walaupun saya tidak sentiasa berada di premis,” katanya.

Kongsi Luqman lagi, secara puratanya, jualan harian yang diperoleh mencecah sekitar RM800 sehari, bergantung kepada musim akademik dan kehadiran pelajar di kampus.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN