ANAK-ANAK yang masih kecil belum mempunyai keupayaan untuk mengawal emosi dan mereka meluahkan segala rasa termasuk lapar, penat dan sebagainya dengan mengamuk (tantrum).
Lebih-lebih lagi bagi anak-anak yang masih belum boleh bercakap, mereka akan menangis untuk meluahkan perasan. Keadaan ini menyukarkan ibu bapa mengenal pasti punca kerana anak-anak tidak boleh berkomunikasi dengan baik.
Sehubungan itu, kesabaran sangat penting dalam berdepan kerenah anak yang pelbagai. Berikut K-Wanita kongsikan lima langkah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa ketika menghadapi anak-anak sedang tantrum.
Kawal emosi
BERGELAR ibu bapa memerlukan kesabaran yang tinggi sepanjang fasa membesarkan anak-anak. Setiap anak mempunyai kerenah berbeza dan di situlah kemahiran serta kebijaksanaan ibu bapa dalam mengendalikan anak-anak diuji.Kanak-kanak belum dapat mengawal emosi apatah lagi bertutur dengan baik untuk meluahkan perasan kurang senang mereka dan tantrum adalah cara meluahkan perasan mereka. Oleh itu, ibu bapa perlu bertenang dan jangan ikut marah sehingga memburukkan lagi keadaan.
Ambil nafas dalam-dalam dan ingat, anak sedang belajar cara hendak luahkan perasaan.
Periksa keadaan anak
ADA banyak sebab anak tantrum seperti rasa terganggu, lapar, dahaga dan mengantuk. Bagi yang masih belum boleh bercakap, mereka akan menangis atau tantrum jika perkara-perkara yang disebutkan itu terjadi.
Oleh itu, jika anak tiba-tiba mengamuk, cuba periksa keadaan mereka dan punca terjadinya tantrum.
Kemungkinan juga kepenatan berjalan sepanjang hari boleh menyebabkan mereka tantrum dan sebagainya.
Alihkan perhatian
SETERUSNYA, ibu atau bapa perlu mengalihkan perhatian anak supaya mereka segera berhenti menangis atau mengamuk. Bawa anak keluar dari tempat itu dan pergi ke lokasi yang lebih selamat dan tunjukkan dia sesuatu yang menarik seperti permainan baharu atau benda baharu. Namun, harus diingat agar tidak memberikan sebarang ganjaran atau memenuhi kehendak anak ketika tantrum. Jika kita terus berikan apa yang mereka mahu, anak akan belajar bahawa tantrum adalah cara yang berkesan untuk mendapatkan apa saja yang diinginkan.
Bercakap dengan anak
KETIKA anak sedang tantrum, ibu bapa tidak boleh menjerit, mengeluarkan kata-kata negatif ataupun memukul anak-anak. Biarkan mereka meluahkan rasa, beri ruang untuk anak bertenang sendiri tetapi pastikan anak-anak berada di dalam keadaan selamat.
Apabila anak sudah mula tenang, barulah ibu boleh cuba bercakap dan tanyakan kenapa dia tantrum. Dengan cara ini, kita boleh mendidik mereka untuk meluahkan perasaan dan bukanlah menunjukkan emosi sedemikian.
Beri pelukan
SELEPAS tantrum anak mula reda, mereka mungkin rasa keliru atau bersalah. Ibu bapa perlu sentiasa peka dan peluklah mereka supaya anak berasa anda masih sayang kepadanya. Pelukan ini membuatkan anak rasa lebih selamat dan tenang.
Anak juga cuba belajar untuk lebih bertenang dan memperbaiki diri menjadi lebih baik seiring peningkatan usia. Jiwa anak-anak yang masih muda sangat dahagakan kasih sayang, ibu bapa perlu tunjukkan kasih sayang seperti dengan kata-kata dan sentuhan.















