SETIAP kali musim perayaan menjelma, sama ada Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina mahupun Deepavali, yang diraikan sepatutnya adalah kemenangan, kesyukuran dan kebersamaan keluarga.
Namun realitinya, ada segelintir masyarakat yang memilih jalan singkat seperti berhutang dengan along demi memastikan sambutan tampak meriah.
Trend ini bukan baharu, tetapi semakin membimbangkan dan penulis melihat budaya ‘biar papa asal bergaya’ masih menebal dalam masyarakat.
Tekanan sosial untuk memiliki pakaian baharu, gajet terkini, kereta cantik atau sekadar mahu kelihatan ‘berjaya’ di mata saudara-mara menjadi punca utama dan ironinya, kegembiraan sehari dua bertukar menjadi mimpi ngeri bertahun-tahun.
Lebih menyedihkan apabila hutang itu bukan sekadar ratusan ringgit, tetapi mencecah ratusan ribu angkara bayaran ‘bunga’ yang sengaja direka oleh kumpulan peminjam tidak berlesen ini.
Presiden Pertubuhan Warisan Rakyat Prihatin Malaysia (PWRN), Jannahtul Ain Jaafar mendedahkan, pihaknya menerima aduan terbaharu membabitkan seorang ahli perniagaan berusia lingkungan 60 tahun di Kelana Jaya, Petaling Jaya yang terjerat pinjaman along sehingga jumlah bayaran mencecah RM1.2 juta.
Menurut beliau, mangsa pada awalnya meminjam kira-kira RM200,000 bagi tujuan pusingan modal perniagaan percetakan baju menjelang musim perayaan dan hasil keuntungan mahu dijadikan modal menyambut Tahun Baharu Cina.
Namun apabila gagal ‘rolling’ perniagaan, hutang tersebut meningkat sehingga RM770,000.
“Setakat ini dia sudah bayar RM1.2 juta, tetapi masih berbaki kira-kira RM83,000 yang diminta along. Kedainya terpaksa ditutup, dia pula terpaksa berpindah dan hidup dalam ketakutan,” katanya.
Lebih memburukkan keadaan, anak lelaki mangsa berusia 43 tahun turut meminjam RM220,000 daripada along lain bagi membantu melangsaikan hutang bapanya.
Akhirnya, situasi ‘korek lubang tutup lubang’ itu langsung tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menambah jerat sehingga mereka sekeluarga terpaksa melupakan hasrat untuk beraya sebaliknya bersembunyi takut diapa-apakan kuncu along.
Menurut Jannahtul Ain, taktik along kini semakin agresif dan berbahaya, apabila jika dahulu sekadar tekanan psikologi, kini unsur ugutan dan kekerasan menjadi senjata utama.
“Mangsa takut buat laporan polis kerana diugut. Mereka fikir bila bayar, masalah selesai. Rupanya tidak. Bayar lagi, bayar lagi sampai tak nampak penghujung,” ujarnya.
Tambah beliau, trend terbaharu adalah tawaran pinjaman mudah melalui Facebook tanpa slip gaji, hanya guna kad pengenalan.
“Lagi dekat nak Raya Aidilfitri, bersepah tawaran yang datang. Bagi mereka tak cukup duit beli baju raya, modal berbelanja di kampung. Jalan mudah segera dapat duit sanggup pinjam along. Inilah kitaran yang memusnahkan hidup,” katanya.
Penulis berpendapat, isu ini bukan sekadar tentang keberanian along atau kelemahan penguatkuasaan semata-mata. Ia bermula dengan sikap kita sendiri yang mudah terpedaya dengan janji manis ‘pinjaman segera’ serta keinginan berbelanja raya di luar kemampuan.
Perayaan sepatutnya diraikan mengikut kemampuan, bukan menjadi medan menunjuk kemewahan.
Tidak salah mahu membeli pakaian baharu atau menyediakan juadah istimewa, tetapi biarlah selari dengan pendapatan.















