fbpx
Gambar memaparkan hantaran yang dimuat naik oleh Ryan Wong di laman Facebook.

Gaji RM1,700 jadi RM17,000, lelaki ini pilih pulangkan wang kepada bank

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki berkongsi kisah menerima gaji hampir RM17,000 akibat kesilapan transaksi bank, namun memilih untuk memulangkan semula wang tersebut kepada pihak bank.

Ryan Yong menerusi hantaran di Facebook berkata, kejadian itu berlaku pada tahun 2004 ketika dia bekerja di sebuah taman tema di Malaysia apabila mendapati terdapat lebihan satu sifar pada jumlah gaji yang dikreditkan ke akaun banknya.

Katanya, dia berulang kali menyemak baki akaun kerana tidak percaya dengan jumlah yang diterima sebelum membuat keputusan untuk memulangkan wang tersebut pada keesokan harinya.

“Saya memeriksa baki akaun berkali-kali sebelum berkata kepada diri sendiri, ‘Ini bukan duit saya’. Keesokan harinya saya terus ke bank dan memulangkan setiap sen wang itu,” katanya.

Ryan berkata, dia menyangka perkara itu sudah selesai, namun menerima panggilan daripada seorang pegawai bank wanita pada keesokan harinya yang menangis sambil mengucapkan terima kasih.

Menurutnya, pegawai berkenaan tersilap menambah satu sifar ketika membuat transaksi pembayaran gaji sehingga menyebabkan wang sebanyak RM15,698 terlebih dikreditkan ke dalam akaunnya.

“Jika saya tidak memulangkan wang itu, dia mungkin terpaksa menanggung kerugian tersebut sendiri.

“Ketika itu, gaji seorang pegawai bank sekitar RM1,500 hingga RM2,000 sebulan. Wang yang saya pulangkan hampir menyamai pendapatan setahun,” katanya.

Ryan berkata, ketika itu barulah dia menyedari bahawa tindakannya bukan sekadar memulangkan wang yang bukan miliknya, malah mungkin telah menyelamatkan kerjaya serta masa depan pegawai bank berkenaan.

Beberapa hari kemudian, dia menerima sepucuk surat penghargaan daripada AmBank bertarikh 6 Februari 2004 yang memuji kejujuran dan integritinya kerana memulangkan wang RM15,698 yang terlebih dikreditkan ke akaunnya.

Katanya, surat tersebut masih disimpan sehingga hari ini sebagai peringatan bahawa melakukan perkara yang betul walaupun tiada siapa melihat merupakan sesuatu yang amat bermakna. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN