JOHOR BAHRU – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengakui penampilan sulungnya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 berakhir dengan keputusan mengecewakan apabila kesemua 15 calonnya gagal memperoleh undi mencukupi untuk mengekalkan deposit.
Pemimpin Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keputusan awal menunjukkan calon parti itu hanya meraih antara tiga hingga enam peratus undi, jauh di bawah syarat 12.5 peratus yang ditetapkan bagi mengekalkan deposit.
Menurut beliau, pencapaian itu juga tidak memenuhi sasaran awal parti yang menyasarkan sekurang-kurangnya 15 peratus sokongan selain berharap semua calon dapat mengelakkan kehilangan deposit.
“Analisis awal menunjukkan berlaku peralihan undi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) daripada semua segmen pengundi berdasarkan umur dan kaum.
“Gelombang sokongan itu memberi kesan kepada prestasi parti-parti lain termasuk Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Muda dan juga Bersama,”katanya dalam satu kenyataan.
Rafizi berkata, pihaknya akan menjalankan analisis menyeluruh terhadap keputusan PRN Johor bagi mengenal pasti kelemahan serta memperkemaskan strategi parti untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada Bersama walaupun parti itu baru berusia 52 hari ketika PRN Johor berlangsung.
Katanya, penghargaan turut diberikan kepada semua calon, ahli, sukarelawan dan penyokong yang bekerja keras sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, meskipun keputusan itu mengecewakan, pengalaman bertanding dalam pilihan raya pertama menjadi titik permulaan penting untuk membina kekuatan parti.
Pada PRN Johor kali ini, Bersama mempertaruhkan 15 calon dalam penampilan sulungnya di pentas pilihan raya negeri.-KOSMO! ONLINE















