fbpx
Jamil mahu penilaian dan latihan berkala terhadap tenaga pengajar perlu dilakukan untuk pastikan standard pengajaran berkualiti.

Tambah baik silibus memandu, bukan sekadar lulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Isu membabitkan keselamatan jalan raya sentiasa menjadi sorotan masyarakat dan media berikutan beberapa siri kemalangan ngeri berlaku saban hari.

Lebih membimbangkan, insiden berkenaan terjadi berpunca daripada kecuaian pengguna jalan raya yang bukan sahaja boleh menyebabkan kecederaan serius, malah berisiko mengorbankan nyawa sendiri dan pengguna lain.

Walaupun pelbagai usaha seperti kempen kesedaran mahupun penguatkuasaan undang- undang telah dilakukan pelbagai pihak berkaitan, namun isu dan punca sama masih berulang kali berlaku.

Ada pihak mendesak supaya kerajaan dan pihak berkuasa lebih tegas dalam menguatkuasakan peraturan serta undang-undang, malah ada yang menggesa supaya silibus memandu di Malaysia atau Kurikulum

Pendidikan Pemandu (KPP) yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dikemas kini serta diperkukuhkan.

Ikuti wawancara wartawan Kosmo! Ahad, Marlia Zakaria bersama Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya Serta Sukan Permotoran, Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR), Jamil Manan Supri, baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Apakah ke­salahan paling popular yang sering dilakukan pemandu di jalan raya?
JAMIL: Antara kesalahan yang sering dilakukan oleh kebanyakan pemandu di Malaysia adalah memandu melebihi had laju, terutamanya di lebuh raya dan jalan Persekutuan.

Kelajuan berlebihan meningkatkan risiko berlakunya kemalangan maut kerana pemandu kurang masa untuk bertindak balas bagi mengelak kenderaan di hadapan atau dari arah hadapan.
Kedua, memotong di garisan berkembar terutama di laluan kampung dan jalan dua hala yang berisiko mengakibatkan pertembungan, manakala ketiga, menggunakan lorong kecemasan sesuka hati bagi mengelakkan kesesakan trafik.

Antara kesalahan lain yang sering dilakukan pengguna jalan raya ialah tidak memasang lampu amaran bahaya atau meletakkan tanda segi tiga amaran tidak mengikut jarak (kecuaian) yang ditetapkan ketika meletakkan kereta di bahu jalan apabila berlaku kerosakan kenderaan.

Selain itu, terdapat pemandu yang memandu secara agresif sehingga membahayakan pengguna lain, menggunakan telefon bimbit, memandu di bawah ­pengaruh alkohol (DUI) atau dadah, tidak memakai tali pinggang keledar, mengabaikan penyelenggaraan kenderaan serta kurang peka terhadap keadaan jalan dan persekitaran.

Mengapakah ke­salahan-kesalahan itu masih sering berlaku walaupun pelbagai peraturan dikuatkuasakan dan kempen kesedaran dijalankan?

Keselamatan jalan raya bukan satu pilihan, tetapi tanggungjawab bersama.

Hormati undang-undang dan pengguna jalan raya lain, ­selain sentiasa memandu dengan berhemah demi keselamatan ­semua.
Pelanggaran di jalan raya sebenarnya mampu dielakkan sekiranya setiap pengguna memiliki kemahiran pemanduan, kawalan kenderaan yang baik serta keupayaan mematuhi dan mengurus kelajuan serta penjarakan de­ngan betul ketika memandu.

Pemandu juga perlu sentiasa peka dan berupaya memantau keadaan persekitaran semasa berada di jalan raya, tidak kira sama ada jalan dalam keada­an baik atau rosak, basah atau ­ke­ring, sesak, berliku dan sebagainya.

Ini kerana pengguna jalan raya yang bertanggungjawab dan berhemah akan sentiasa menyesuaikan cara pemanduan mengikut situasi dan risiko semasa.

Hakikatnya, punca utama pelanggaran adalah sikap pengguna jalan raya sendiri iaitu faktor kemanusiaan.
Oleh itu, penguatkuasaan terhadap diri sendiri amat penting dalam membentuk budaya pemanduan selamat, berdisiplin dan bertanggungjawab demi ke­selamatan semua pengguna jalan raya.

Gambar hiasan

Mengapakah dikatakan laluan kampung dan dua hala lebih berisiko berlaku kemalangan?

Terdapat beberapa laluan kampung mempunyai garisan putus yang dibenarkan memotong, tidak sesuai dengan kea­daan semasa jalan.
Jadi, Jabatan Kerja Raya perlu menilai semula kawasan yang mempunyai garisan berkembar, khususnya di laluan satu lorong yang sering menjadi lokasi kemalangan akibat tindakan memotong.
Selain itu, wujudkan penghadang (pembahagi jalan) se­perti tiang anjal pembahagi jalan kawalan trafik reflektif atau penghadang air bagi menghalang cubaan memotong di kawasan berbahaya atau laluan garisan berkembar.

Ini bagi meningkatkan ke­selamatan penggunanya. Penggunaan penghadang konkrit juga boleh dipertimbangkan di laluan berbahaya.

Apakah cabaran utama kepada semua permasalahan ini?
Secara asasnya, silibus KPP di institut memandu di Malaysia sudah menyediakan keperluan minimum untuk seseorang mendapatkan lesen memandu atau menunggang.

Namun persoalan besar hari ini ialah, adakah ia benar-benar mencukupi untuk melahirkan pengguna jalan raya yang kompeten, cekap, berdisiplin dan mempunyai budaya keselamatan tinggi?

Jawapannya masih terdapat ruang besar untuk diperku­kuhkan. Pembelajaran terlalu tertumpu kepada sasaran bagi lulus ujian lesen. Sepatutnya, keutamaan diberikan kepada pembentukan sikap dan budaya keselamatan jangka panjang.

Latihan pula lebih menekankan kemahiran asas mengendalikan kenderaan berbanding kemahiran defensif dan pengurusan risiko sebenar di jalan raya.
Selain itu, pendedahan kepada situasi kritikal seperti jalan licin, titik buta, pemanduan malam, tekanan emosi, keletihan dan sikap agresif masih terhad dan perlu dimantapkan.

Melalui pemerhatian PPKJR, ramai pengguna jalan raya mempunyai lesen, tetapi kurang kompetensi membuat keputusan selamat ketika situasi kecemasan.

Apakah cadangan PPKJR bagi mengatasi isu ini secara komprehensif?
Silibus KPP perlu ditambah baik dan diperkukuh yang mana pemanduan defensif dan pengurusan risiko wajib diberi penekanan utama.

Modul psikologi pemandu dan kawalan emosi ketika memandu perlu diperkenalkan selain ujian khas sebelum dibenarkan memandu sepenuhnya di jalan raya.
Latihan penjarakan selamat, pengurusan kelajuan dan teknik mengelak pelanggaran perlu dipertingkat dengan memberikan keutamaan kepada skil pemanduan dan kawalan ken­de­raan.

Selain itu simulasi situasi sebenar seperti hujan lebat, jalan sesak, brek kecemasan dan gangguan perhatian perlu diwajibkan.

Kompetensi tenaga pengajar juga perlu diberi perhatian. Tenaga pengajar bukan sekadar me­ngajar lulus ujian, tetapi berupaya membentuk sikap dan disiplin pengguna jalan raya.
Penilaian dan latihan berkala terhadap tenaga pengajar perlu dilakukan bagi memastikan standard pengajaran sentiasa berkualiti selain kemahiran komunikasi serta kemampuan membentuk disiplin pelajar juga perlu dinilai.

Penekanan terhadap sikap dan tanggungjawab juga perlu dilakukan, selain penilaian tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada laluan ujian yang dihafal. Aspek pemerhatian, keputusan spontan, disiplin dan kesedaran risiko perlu menjadi sebahagian besar penilaian kompetensi.

PPKJR mencadangkan satu ujian khas setelah tamat tempoh Lesen Memandu Percubaan sebelum bertukar ke Le­sen Memandu Kompeten (CDL) dilakukan ke atas pemandu sebelum mereka dibenarkan memandu sepenuhnya di jalan raya. Jelaskan?
Cadangan tersebut dibuat bagi memastikan seseorang itu benar-benar kompeten dan bersedia untuk berada di atas jalan raya sebagai pemandu berkualiti.

Ia merangkumi tambahan tentang penghayatan undang-undang, pemanduan asas, tempoh penilaian kemampuan di atas jalan raya dan ujian khas bagi tempoh tertentu.
Selepas tempoh tersebut, mereka perlu menjalani satu lagi ujian khas untuk memastikan mereka benar-benar layak dan bersedia untuk menjadi pengguna jalan raya yang selamat.

Jadi, maknanya kita perlu panjangkan masa (pembelajaran) berbanding silibus sekarang iaitu kelas teori, ujian berkomputer, dan latihan praktikal sebelum melayakkan anda mendapat CDL. Mungkin dipanjangkan jumlah jam latihan pemanduan sebenar di jalan raya awam dari 10 jam kepada 16 atau 18 jam.

Contohnya di Australia, untuk mendapatkan lesen memandu penuh mengambil masa tiga hingga empat tahun melalui sistem pemasaan berperingkat.
Langkah ini diharap dapat meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dan mengurangkan risiko kemalangan dan memastikan negara kita akan mempunyai ramai pemandu yang berkualiti dan berdisiplin tinggi.

Apakah penilaian semula lesen memandu perlu dipertimbangkan pihak kementerian dan kerajaan?
Ya, sangat perlu. Penilaian semula dicadangkan dilakukan secara berkala iaitu sama ada setiap lima atau lapan tahun, bergantung kepada tahap kemahiran, umur dan keadaan kesihatan pemandu.

Bagi pemandu yang sudah mahir, tempoh sepuluh tahun dianggap lebih sesuai. Selain itu bagi warga emas, penilaian semula boleh dibuat dengan mengambil kira aspek kesihatan menerusi rekod pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti kemampuan mereka untuk terus memandu dengan selamat di jalan raya.

Penilaian lesen perlu lebih ketat dan realistik dan tidak sepatutnya terlalu bergantung kepada laluan ujian telah dihafal. Aspek pemerhatian, keputusan spontan, disiplin dan kesedaran risiko perlu menjadi sebahagian besar penilaian kompetensi.

Bagaimana pula dengan isu pemandu mabuk? Apakah langkah terbaik untuk mena­ngani isu ini yang sering menyebabkan kehilangan nyawa?
Kes pemandu mabuk sememangnya sukar dibendung ke­rana individu yang berada dalam keadaan mabuk tidak sedar akan tindakan mereka sendiri.

Oleh itu, pusat-pusat hiburan dan premis yang menjual minuman keras perlu memainkan peranan lebih besar dengan memastikan pelanggan yang mabuk tidak memandu pulang.
Dari suatu sudut di Malaysia, kurikulum pemanduan rasmi tidak termasuk Ujian Persepsi Bahaya berasaskan video ‘ala’ United Kingdom. Sebaliknya, anda diuji tentang keselamatan jalan raya, undang-undang dan

pengecaman bahaya semasa Ujian Teori JPJ berasaskan komputer (Ujian KPP 01).
Ujian 45 minit 50 soalan ini tersedia dalam Bahasa Melayu. Namun, disarankan Ujian Persepsi Bahaya wajib dipertimbangkan.

Pelaksanaan konsep Dram Shop Law, seperti yang diamalkan di beberapa negara luar, boleh dipertimbangkan bagi meletakkan tanggungjawab tertentu kepada operator pusat hiburan atau premis menjual alkohol.

Dram Shop Law perunda­ngan mencadangkan supaya pemilik atau pengendali premis yang menghidangkan alkohol turut bertanggungjawab jika pelanggan mereka mabuk, memandu menyebabkan kemalangan.
Langkah itu tidak terlalu rumit dilaksanakan, namun mengambil masa terlalu lama untuk dipertimbang disebabkan oleh birokrasi dan pelbagai prosedur.

Apakah harapan dan saran PPKJR kepada kerajaan dan kementerian khususnya?
Pihak kami juga pernah me­nyuarakan pandangan melalui media mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan supaya bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan agar Dram Shop Law diwujudkan.

Ini bagi menangani isu pemandu mabuk dengan kaedah lebih berkesan, namun setakat ini belum pasti lagi penerimaan pandangan ini.

Jadi, sekali lagi PPKJR sara­n­kan kepada pihak kerajaan supaya ambil tindakan proaktif terhadap setiap apa yang dicadangkan sama ada daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan ataupun PPKJR sendiri untuk dipertimbangkan.

Saya yakin, semua pihak NGO terlibat, malah PPKJR sendiri sentiasa bersedia pada bila-bila masa dipanggil berbincang dan dengar pandangan kami.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN