CALIFORNIA – Jurulatih Belgium, Rudi Garcia menganggap skuad kendaliannya tidak bernasib baik apabila tersingkir daripada Piala Dunia 2026 selepas tewas 1-2 kepada Sepanyol pada aksi separuh akhir di Stadium Los Angeles awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, Sepanyol mendahului 1-0 menerusi Fabian Ruiz di minit ke-30 sebelum Charles De Ketelaere menyamakan kedudukan 11 minit kemudian, namun dikecewakan oleh jaringan Mikel Merino ketika penghujung permainan.
Segalanya serba tidak menjadi buat skuad The Red Devils apabila penjaga gol utama, Thibaut Courtois terpaksa dikeluarkan pada minit ke-71 dan digantikan dengan pemain gantian, Senne Lammens yang kemudiannya melepaskan gol kemenangan Sepanyol.
Garcia berkata, beliau tetap bangga dengan prestasi serta pencapaian yang dilakukan anak-anak buahnya pada Piala Dunia kali ini, namun ketiadaan Courtois dan kapten, Kevin De Bruyne menjejaskan aksi pasukan.
“Secara ringkasnya, kami perlu bangga dan gembira dengan prestasi yang ditampilkan sepanjang di Piala Dunia ini. Kami sudah belajar sesuatu daripada kekalahan yang dialami hari ini (semalam) dan kami tidak perlu malu.
“Segalanya tidak seperti dirancang apabila kami terpaksa mengeluarkan penjaga gol (Courtois) dan kapten (De Bruyne). Ketiadaan mereka sedikit sebanyak memberi kesan kepada permainan Belgium,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan beberapa keputusan dibuat pengadil perlawanan, Michael Oliver turut mempengaruhi rentak permainan apabila dilihat sering memberi kelebihan kepada Sepanyol.
Garcia menjelaskan, Oliver tidak merujuk Video Bantuan Pengadil (VAR) apabila bola terkena tangan pemain tengah Sepanyol, Rodri dalam kotak penalti pada minit ke-62 selain situasi Aymeric Laporte yang didakwa melakukan hantaran kepada penjaga gol, Unai Simon.
“Memang ada situasi di mana bola terkena tangan pemain Sepanyol. Saya tahu tugas Oliver sukar tetapi apa guna VAR? Saya tidak mahu mengulas lanjut mengenai perkara ini tetapi ia menghalang kami untuk ke separuh akhir,” ujarnya. – AGENSI















