fbpx
Hishamuddin dan mangsa pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue, Kuala Lumpur hari ini.

Mangsa terjerat jadi keldai akaun bank kerana tawaran kerja, pinjaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) mendakwa semakin ramai individu menjadi mangsa sindiket keldai akaun selepas diperdaya melalui tawaran kerja dan pinjaman wang yang diiklankan di media sosial.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, hasil kajian lapangan pertubuhan itu mendapati kebanyakan mangsa tidak mempunyai niat melakukan jenayah atau memperoleh keuntungan daripada penggunaan akaun bank mereka oleh sindiket.

Katanya, persepsi umum selama ini menganggap semua pemilik akaun terbabit sengaja menyewakan akaun kepada sindiket, sedangkan majoriti daripada mereka sebenarnya diperdaya sebelum identiti serta akaun bank disalahgunakan.

“Mereka ini juga mangsa. Yang untung ialah dalang sebenar atau mastermind, tetapi yang menanggung kesan ialah pemilik akaun apabila disiasat dan didakwa,” katanya pada sidang akhbar di pejabat MHO, Megan Avenue, Kuala Lumpur hari ini.

Menurutnya, antara modus operandi terkini sindiket ialah menawarkan pekerjaan sebagai pegawai khidmat pelanggan dengan gaji lumayan sebelum mangsa diminta membuka beberapa akaun bank kononnya bagi tujuan pembayaran gaji.

Katanya, selepas semua akaun dibuka, sindiket akan menghilangkan diri dan akaun tersebut digunakan untuk transaksi penipuan sehingga mangsa berdepan siasatan polis.

Seorang mangsa yang hanya dikenali sebagai Jay, 26, berkata, dia tertarik dengan iklan jawatan kosong di Facebook sebelum dibawa ke sebuah rumah transit untuk menjalani latihan.

Bagaimanapun, dia mula curiga selepas diminta membuka beberapa akaun bank dan akaun syarikat sebelum semua individu yang merekrutnya gagal dihubungi.

“Hasil semakan sendiri, saya dapati akaun yang dibuka telah digunakan bagi transaksi mencecah RM2.4 juta. Sekarang saya hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap walaupun saya hanya mencari kerja,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Farhan, 26, berkata, dia turut diperdaya dengan tawaran kerja bergaji RM3,500 sebelum diarahkan membuka lima akaun termasuk akaun syarikat.

Katanya, beberapa hari selepas pulang, dia dihubungi polis yang memaklumkan akaun syarikat atas namanya dikaitkan dengan transaksi mencurigakan.

Hishamuddin berkata, MHO akan membawa semua mangsa untuk membuat laporan polis serta mengemukakan representasi kepada pihak berkuasa supaya kes mereka dinilai berdasarkan fakta sebenar dan bukannya terus dianggap sebagai penjenayah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN