fbpx
LIN memformulasikan sendiri produk hasil pengalamannya berdepan masalah kulit yang rosak akibat pengambilan produk yang salah.

Kebangkitan Norhaslinda, temui ‘pelangi’ setelah berpisah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH mengalami kegagalan dalam rumah tangga dan kesulitan hidup sekitar 10 tahun lalu membuatkan wanita kental ini melakukan perubahan drastik dalam hidupnya.

Berpisah dengan suami dan bergelar ibu tunggal dengan amanah membesarkan bayi yang baru dilahirkan membuatkan Norhaslinda Rosli tabah meniti hari demi hari.

Enggan menoleh kembali kisah silam yang membelenggu diri, wanita cekal kelahiran Melaka ini bangkit dengan memberanikan diri memulakan perniagaan.

Kini selepas sedekad bergelar usahawan dan pengarah urusan Addar Global Sdn. Bhd., nama Norhaslinda, 46, semakin me­kar dalam persada keusahawanan yang diceburinya.

Lebih membanggakan pelbagai pengiktirafan dan anugerah diterimanya seperti Titanium Circle Top SME Award 2021, Gladiator The Titanium dan Hijab Fashion Hijabista Trusted Skincare 2024.

“Saya seorang ibu tunggal yang ditinggalkan suami tanpa ada apa-apa pun.

“Saya jugalah yang membesarkan anak seorang diri sejak lahir dengan berbagai-bagai kesusahan yang saya alami.

“Dari kesulitan itulah jadi pendorong untuk saya bangkit sebagai ibu tunggal yang ingin memastikan kehidupan bersama anak berubah.

“Di situlah saya mula berfikir untuk menjana pendapatan melalui perniagaan pertama saya dalam bidang kecantikan kulit wajah jenama sendiri, Addar Beauty,” katanya kepada K-Wanita.

Menurut anak sulung daripada dua beradik ini, dia tidak pernah menyangka di sebalik kesulitan dan kegagalan rumah tangga dialaminya, kini Allah hadirkan ‘pelangi’ buatnya.

Berkongsi lanjut perjalanannya dalam bisnes, Norhaslinda yang mesra disapa Lin berkata, dia yang pernah bekerja dalam industri perhotelan (hospitaliti) memilih bidang penjagaan kulit wajah kerana mahu membantu golongan wanita yang mengalami masalah kulit wajah sepertinya.

“Addar Beauty ditubuhkan pada 5 April 2015 kerana saya adalah salah seorang mangsa yang pernah terpakai produk mengandungi bahan terlarang yang membahayakan kulit wajah.

“Saya nekad dan berniat untuk membantu ramai orang di luar sana agar tidak jadi seperti apa yang saya lalui.

“Saya juga berniat untuk bantu ramai wanita dan juga lelaki memiliki kulit wajah yang sihat kembali menerusi produk yang dikeluar dan diformulasikan saya,” katanya.

Bersama kakitangan Addar Beauty yang kini menjangkau 157 orang.

Percaturan Lin dalam dunia perniagaan nyata berbaloi kerana sepanjang mengemudi bisnesnya, dia mampu memperoleh jualan membanggakan.

“Dengan modal awal dan juga simpanan serta pinjaman dari bank ketika itu sebanyak RM100,000, saya nekad untuk mengeluarkan produk pertama saya iaitu Sabun Mutiara dan Serum Royal Epigenetic pada tahun pertama beroperasi.

“Alhamdulillah selepas 10 tahun berada dalam pasaran, nilai jualan yang terkumpul telah mencecah hampir RM50 juta,” katanya.

Berkongsi cabaran sepanjang mengasaskan bisnes, pencinta haiwan ini mengakui isu produk tiruan atau meniru konsep pemasaran menjadi hal pertama yang berlaku dalam bisnesnya.

“Saya pernah panik apabila terlihat satu produk yang seakan-akan keluaran Addar, termasuk cara ayat jualan yang hampir sama.

“Saya membuat laporan polis dan menghubungi MyIPO untuk tindakan berkaitan hak cipta nama, reka bentuk serta ayat pemasaran.

“Saya juga menghubungi peguam syarikat, membuat pengumuman secara siaran langsung kepada pelanggan agar berhati-hati dan akhirnya pihak tersebut menutup iklan serta jualan yang meniru konsep Addar,” katanya.

Norhaslinda (berdiri kanan) yang merupakan ibu tunggal bersama anak lelakinya (berdiri kiri) yang menjadi kekuatannya di samping ahli keluarga.

Keduanya jelas Lin, tekanan dan ujian integriti dalam industri juga dirasakan sebagai cabaran buatnya sepanjang berbisnes.

“Saya pernah dihubungi seorang pengasas produk lain yang menegur kononnya kalau nak berniaga jangan rosakkan periuk nasi orang lain.

“Saya memilih untuk kekal berintegriti dan tidak bersubahat dengan mana-mana pihak yang mengabaikan soal halal-haram atau keselamatan pengguna.

“Saya memilih jalan yang betul, buat laporan yang perlu dan tidak melayan provokasi di media sosial demi menjaga fokus serta ketenangan,” katanya yang berpegang kepada prinsip iaitu hidup perlu sentiasa ingat di mana bermula, sentiasa bersyukur dan berikan yang terbaik selagi bernyawa.

Ditanya mengenai keunikan produknya, Addar Beauty akuinya ia sudah berjaya membantu ratusan ribu pelanggan yang majoritinya terdiri daripada mangsa yang pernah tersalah pakai produk iaitu timbang kilo.

“Itulah sebenarnya misi kami untuk memberi sinar harapan kepada mangsa-mangsa yang terguna produk klinikal terlarang.

“Bila tersalah guna produk, ia akan mengakibatkan pelbagai masalah terutama jeragat yang teruk, jerawat dan juga kulit kusam.

“Kerana itu jugalah Addar dikenali bukan sekadar satu jenama di pasaran tetapi selaku pakar penyelesaian kulit rosak,” katanya.

Jelas Lin, rangkaian produk Addar yang paling terkenal ialah Sabun Magnetic yang wajib digunakan untuk membantu proses detoks kulit wajah, ia merupakan rawatan asas paling utama di Addar.

Selain itu, Foundation Green Tea pula bukan sekadar mekap, tetapi juga membantu merawat kulit wajah (dua dalam satu).

Serum Royal Epigenetik (Pearl Serum) ialah teknologi penjagaan kulit dari Switzerland yang dibawa masuk ke Malaysia dan mengandungi 40 bahan aktif dengan serbuk mutiara dan ekstrak pati mutiara sebagai bahan utama.

Sabun Mutiara (Pearl Soap) pula mengandungi serbuk mutiara dan ekstrak pati mutiara sebagai bahan utama serta 30 bahan lain dalam setiap ketul.

Berkongsi mengenai pelan jangka panjang, Lin memberitahu, dalam tempoh lima ke 10 tahun akan datang, syarikat disasar menjadi peneraju produk keperluan dalam penjagaan asas, bukan sahaja kulit wajah, tetapi termasuk keperluan penjagaan lain yang relevan.

“Misi utama kami untuk mengembangkan produk keluaran Addar ke peringkat antarabangsa, bermula di Asia Timur, seterusnya ke Asia Barat dan akhirnya ke negara-negara Islam lain.

“Sasaran kami ialah menjadi jenama produk Muslim yang halal dan selamat digunakan, bukan sahaja untuk wanita malah lelaki juga.

“Saya juga ingin kongsikan bahawa sepanjang 10 tahun Addar Beauty berada dalam pasaran, kepakaran kami lebih fokus untuk memberi manfaat sebaik mungkin kepada pelanggan,” katanya.

Dalam pada itu, bagi tahun baharu 2026, Lin memberitahu pada tahun ini kakitangan Addar sudah menjangkau hampir 157 orang merangkumi semua jabatan.

Selepas syarikat mengkaji perubahan peredaran masa dan perkembangan teknologi, pada tahun ini, syarikat memastikan untuk tidak ketinggalan dalam dunia perniagaan yang semakin wajib bergerak ke arah digital dan kecerdasan buatan (AI).

“Konsep ini dapat memberi hasil (profit) yang lebih baik serta mengurangkan kos operasi kerana kos pekerja semakin meningkat.

“Jadi, kami memilih untuk mengekalkan tenaga kerja yang benar-benar berkelayakan dan diperlukan mengikut kuota, khususnya yang mampu bekerja bersama AI untuk meningkatkan tahap kepakaran masing-masing,” katanya.

Mengenai azam tahun baharu peribadinya, Lin berharap untuk jadi versi dirinya yang lebih cantik, sihat dan yakin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN