PETALING JAYA – Kemunculan dadah sintetik dan new psychoactive substances (NPS) atau substan psikoaktif baharu di pasaran termasuk melalui cecair vape memberi cabaran kepada keupayaan makmal forensik untuk mengesan bahan-bahan tersebut.
Lebih membimbangkan, bahan terlarang itu bukan sahaja mendatangkan risiko keracunan, ketagihan, malah kematian walaupun diambil dalam dos kecil.
Setakat ini, hampir 1,400 jenis NPS dikenal pasti di seluruh dunia. Daripada jumlah itu, lebih 100 bahan baharu dikesan pada tahun 2024 sahaja.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara, Prof. Madya Dr. Noor Hidayah Pungot berkata, ancaman itu semakin membimbangkan apabila pengeluar atau sindiket sentiasa menghasilkan analog atau derivatif kimia baharu dengan hanya mengubah sedikit struktur molekul sesuatu dadah.
Menurutnya, walaupun kecil, perubahan itu boleh menghasilkan sebatian baharu yang mempunyai kesan farmakologi dan tahap ketoksikan berbeza, sekali gus menyukarkan pengesanan oleh pihak berkuasa.
“Hampir 1,400 jenis NPS dikenal pasti di seluruh dunia. Antara yang paling mendapat perhatian ialah nitazene, kanabinoid sintetik dan katinon sintetik.
“Selain itu trend baharu adalah mencampurkan opioid sintetik atau opiat dengan ubat sedatif veterinar,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ubat sedatif haiwan digunakan untuk menenangkan atau membuatkan haiwan mengantuk sebelum prosedur perubatan. Opiat sintetik pula digunakan sebagai ubat penghilang rasa sakit.
Di Malaysia, antara dadah sintetik yang semakin mendapat perhatian ialah synthetic cannabinoids yang sering dikaitkan dengan vape ‘magic mushroom’ selain ‘Piu Piu’ yang disyaki mengandungi campuran beberapa bahan psikoaktif sintetik.
‘Piu Piu’ bukannya sejenis dadah, sebaliknya nama komersial cecair vape yang kandungannya berbeza mengikut pembekal. Nitazene pula dianggap antara dadah sintetik paling berbahaya di dunia kerana boleh bawa maut walaupun dalam dos sangat kecil.
“Dadah ini bertindak pada otak seperti morfin, tetapi bagi sesetengah jenis ia jauh lebih kuat. Walaupun asalnya ia dibangunkan untuk tujuan penyelidikan, ia tidak pernah digunakan sebagai ubat kerana tahap toksik yang sangat tinggi,” ujarnya.
Bahaya utama dadah sintetik bukan hanya terletak pada kekuatan dos, tetapi pengguna sendiri yang tidak tahu kandungan sebenar bahan yang diambil.
Analisis forensik mendapati pil atau cecair vape mengandungi campuran beberapa bahan aktif seperti opioid sintetik, kanabinoid sintetik, katinon sintetik, benzodiazepin, sedatif veterinar dan bahan pencair.
“Pengguna ibarat mangsa eksperimen. Walaupun sekali penggunaan ia boleh menyebabkan keracunan serius, overdosis atau kematian,” ujarnya.
Katanya, penggunaan berulang boleh mengubah sistem ganjaran di otak sehingga menyebabkan ketagih selain meningkatkan risiko kemurungan, kebimbangan dan gangguan fungsi otak untuk jangka masa panjang.
Campuran beberapa bahan psikoaktif dalam satu produk juga boleh menekan sistem saraf pusat secara mendadak sehingga meningkatkan risiko kegagalan pernafasan, kerosakan organ dan kematian mengejut.
Cabaran mengenal pasti kandungan sebenar dadah sintetik semakin sukar kerana pengeluar haram sentiasa mengubah struktur kimia bahan tersebut.
“Pengesahan bahan ini memerlukan analisis makmal menggunakan instrumen berteknologi tinggi seperti Gas Chromatography-Mass Spectrometry.














