LOGIKNYA pembinaan lebuh raya yang mempunyai laluan dua hala sudah tentu memberikan keselesaan kepada pengguna jalan raya, sekaligus meningkatkan tahap keselamatan dan mengurangkan kemalangan.
Justeru, pembinaan Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) dari Gombak ke Jabor juga dilihat dapat memastikan pengguna tidak lagi menggunakan laluan lama yang kecil dan berselekoh yang lebih berisiko. menyebabkan kemalangan.
Hakikatnya, meskipun laluan dua hala yang selesa, kes kemalangan seperti tiada kesudahan apabila dalam tempoh 20 tahun kewujudan LPT1 daripada 2004 hingga 2024, sebanyak 35,551 kejadian kemalangan direkodkan dengan 730 kes kematian.
Jumlah itu menyamai 1,777 kejadian kemalangan dalam setahun atau 148 kes sebulan atau lima kejadian sehari.
Jika keadaan jalan yang selesa dan kemalangan masih berlaku, sudah tentu kecuaian pemanduan dan juga penyelenggaraan kenderaan termasuk kenderaan berat boleh menjadi punca berlakunya kemalangan.
Perkara ini tidak boleh dipandang sepi kerana kemalangan terus berlaku meskipun usaha berterusan terus dilakukan pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi dengan memberikan keutamaan kepada aspek keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Ir Razali Kassim berkata, pihak LLM menerusi sistem aplikasi Malaysia Highway Road Accident Analysis & Database System (MHROADS) yang dibangunkan pada tahun 2016 telah merekodkan data-data kemalangan di sepanjang jajaran lebuh raya.
Katanya, analisis kemalangan akan dilaksanakan setiap tahun bagi mengenal pasti sekiranya terdapat lokasi yang kerap berlaku kemalangan (blackspot) supaya tindakan mitigasi sewajarnya dapat diambil bagi mengurangkan risiko kemalangan di lokasi berkenaan pada tahun berikutnya.
Tambah beliau, bagi mengurangkan risiko kemalangan di lebuh raya LPT1, audit keselamatan jalan raya peringkat lima bagi jalan telah beroperasi telah dilaksanakan dengan mengambil tindakan penambahbaikan dan mitigasi.
Jelasnya, kerjasama dengan pihak penguatkuasaan seperti polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga amat penting bagi memastikan kenderaan berat yang menggunakan lebuh raya mematuhi undang-undang yang ditetapkan terutamanya kesalahan lebihan muatan.
Hakikatnya faktor jalan dan juga usaha dilakukan berterusan dilihat masih belum mencapai matlamat apabila kadar kemalangan jalan raya terus berlaku dan lebuhraya terus menjadi pusara.
Kadangkala kecuaian orang lain termasuk kenderaan berat yang membawa muatan berlebihan dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan menjadi penyebab kemalangan tragis dan kematian orang yang memandu secara berhemah.
Undang-undang yang ada bagaikan tidak menakutkan pesalah di lebuh raya kerana dengan mudah boleh bayar saman dan kompaun malah ada yang ‘menyimpan’ puluhan saman.
Jadi dalam mengatasi isu yang bagaikan tidak berkesudahan ini, wajarlah hukuman lebih berat dengan menaikkkan nilai kompaun, penjara dan mengantung lesen serta cukai jalan kenderaan terbabit boleh dilakukan.
Isu kemalangan bukanlah isu ringan, kerana melibatkan kehilangan nyawa, kesakitan, kecederaan dan boleh mengubah masa depan seseorang.
Tidak salah hukum berat digubal dalam isu ini.














