fbpx

Syed Saddiq serah nasib kepada Allah, institusi kehakiman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq pada sidang akhbar di Mahkamah Rayuan, Putrajaya, hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR/ KOSMO!

PUTRAJAYA – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia berdepan sebarang kemungkinan berhubung rayuannya terhadap sabitan dan hukuman bagi empat pertuduhan berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Jelasnya, beliau telah bersedia sejak dituduh lima tahun lalu dan menyerahkan kepercayaan sepenuhnya kepada institusi kehakiman untuk menentukan keadilan buat dirinya.

“Setakat ini Alhamdulillah, semua berjalan dengan baik. Saya terhutang budi kepada mereka di luar sana yang sentiasa memberikan doa dan sokongan tidak putus-putus. Sampai ada yang buat bacaan Yasin secara dalam talian di TikTok, Facebook dan Instagram. Terima kasih banyak-banyak,” katanya.

Menurut bekas Menteri Belia dan Sukan itu, beliau hanya ingin membersihkan nama serta memulihkan integriti diri sebagai seorang rakyat Malaysia yang menghormati undang-undang.

“Saya hanya merupakan salah seorang yang ingin menuntut keadilan di mahkamah untuk membersihkan nama saya. Sebagai seorang yang mencintai sistem perundangan negara dan menghormati institusi kehakiman, inilah jalan terbaik,” tambahnya.

Syed Saddiq berpuas hati sepanjang prosiding selama tiga hari yang bermula sejak 19, 20 Mac dan hari ini.

“Alhamdulillah, semua berjalan baik. Walaupun berlaku sedikit penangguhan sebulan lalu kerana isu kesihatan pihak pendakwaan, saya faham dan mendoakan mereka cepat sembuh. Hari ini berjalan lancar.

“Saya meletakkan kepercayaan kepada institusi kehakiman dan menyerahkan nasib serta takdir saya kepada Allah SWT.”

Keputusan rayuan Syed Saddiq sama ada berjaya mengetepikan sabitan dan hukuman atau kekal bersalah akan ditentukan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI