fbpx
TERTUDUH diiringi pegawai SPRM selepas didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka bagi lima pertuduhan menggunakan invois palsu.

Mejar tentera didakwa buat tuntutan palsu lebih RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang pegawai kanan tentera berpangkat mejar didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan menggunakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan lebih RM220,000, dua tahun lalu.

Tertuduh, D. Vivekananthan, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Lelaki itu sebagai pegawai tentera berpangkat Pegawai Pemerintah 9 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja Kem Terendak didakwa dengan niat untuk memperdaya prinsipalnya iaitu Kementerian Pertahanan.

Tertuduh didakwa menggunakan suatu dokumen yang mana Kementerian Pertahanan mempunyai kepentingan dan tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai ia mengandungi butir matan palsu.

Mengikut kesemua lima pertuduhan itu, tertuduh mengemukakan invois palsu membabitkan lima syarikat yang mana sebenarnya pembekalan bahan mentah dan kerja senggaraan fasiliti pasukan tentera tidak dilakukan.

Ia termasuk pembinaan bengkel latihan, pondok skuad, stor latihan, garaj balai pengawal, bilik sejarah dan blok penginapan.

Kesalahan dilakukan antara 12 Mac dan 19 November 2024 di pejabat pasukan itu dalam daerah Melaka Tengah melibatkan lima invois berjumlah RM225,018.75.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai tuntutan atau RM10,000, mana lebih tinggi di bawah Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN